SHAH ALAM, 2 OKT: Peniaga yang berminat menjalankan perniagaan di Bazar Ramadan 2027 kendalian Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) boleh memohon permit mulai 5 hingga 19 Oktober ini.
MBSJ menerusi Facebook memaklumkan permohonan hendaklah dibuat secara dalam talian menerusi saluran yang ditetapkan.
Pemohon turut diminta menyemak syarat dan tatacara permohonan terlebih dahulu serta memastikan semua maklumat yang diperlukan dilengkapkan sebelum permohonan dikemukakan.
“MBSJ turut mengingatkan pemohon supaya memastikan permohonan dikemukakan dalam tempoh ditetapkan serta mematuhi segala syarat dan peraturan yang berkuat kuasa.
“Orang ramai boleh merujuk visual hebahan rasmi MBSJ untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai syarat dan pautan permohonan,” katanya.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Bahagian Usahawan Mikro, Jabatan Pelesenan MBSJ menerusi talian 03-8026 4324.








