Aplikasi Wakaf Selangor permudah infak, wakaf secara digital

11 Feb 2026, 12:55 AM
Aplikasi Wakaf Selangor permudah infak, wakaf secara digital
Aplikasi Wakaf Selangor permudah infak, wakaf secara digital
Aplikasi Wakaf Selangor permudah infak, wakaf secara digital
Aplikasi Wakaf Selangor permudah infak, wakaf secara digital
Aplikasi Wakaf Selangor permudah infak, wakaf secara digital

SHAH ALAM, 11 FEB: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) melancarkan aplikasi ‘Wakaf Selangor’ bagi memudahkan urusan infak dan wakaf secara digital, sekali gus memberi kemudahan kepada orang ramai berwakaf tanpa perlu hadir ke kaunter fizikal.

Pengerusi PWS Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Muhammad Tahir berkata inisiatif pendigitalan itu bertujuan memudahkan pelaksanaan wakaf tunai yang sebelum ini bergantung kepada kaunter PWS atau tabung wakaf di masjid.

Menurut beliau, penggunaan aplikasi berkenaan membolehkan orang ramai dari seluruh negara turut menyumbang kepada wakaf di Selangor.

"Bukan sahaja di negeri Selangor, orang di Kelantan, Perlis dan Johor juga boleh berwakaf Selangor. Ini InsyaAllah akan menaikkan wakaf tunai di PWS," katanya berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Wakaf Negeri Selangor 2026 dan Aplikasi Wakaf Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, semalam.

Pengerusi Perbadanan Wakaf Selangor Tan Sri Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berucap dalam Majlis Peluncuran Bulan Wakaf peringkat negeri dan Aplikasi Wakaf Selangor di SACC, Shah Alam pada 10 Februari 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Syed Zainal Abidin berkata matlamat PWS sejak penubuhannya adalah menyebarkan maklumat wakaf kepada orang ramai, menjaga harta wakaf supaya kekal milik umat Islam serta mengembangkan harta wakaf untuk manfaat ummah.

Mengulas pencapaian PWS, beliau berkata kutipan wakaf pada 2025 mencecah RM80 juta, melepasi sasaran RM64 juta, dengan agihan hampir RM50 juta kepada masjid, surau, sekolah dan pusat kesihatan.

"Hasil kutipan tidak boleh disimpan, kita mahu agihkan. Tahun lepas hampir RM50 juta diagihkan kepada masjid, surau, sekolah dan pusat kesihatan," katanya.

Selain itu, Syed Zainal Abidin turut menyeru syarikat korporat dan kepimpinan organisasi menggalakkan potongan gaji wakaf dalam kalangan kakitangan sebagai usaha meningkatkan penyertaan.

"Kalau boleh sarankan kakitangan untuk membuat potongan gaji wakaf dan jumlah tidak ditetapkan. Di Selangor, potongan gaji ini masih rendah iaitu kurang 20 peratus," katanya.

EXCO Agama Dr Mohammad Fahmi Ngah (lapan, kanan) bersama penyumbang wakaf korporat dalam Majlis Peluncuran Bulan Wakaf peringkat negeri dan Aplikasi Wakaf Selangor di SACC, Shah Alam pada 10 Februari 2026. Hadir sama Pengerusi Perbadanan Wakaf Selangor Tan Sri Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir (enam, kanan). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Beliau turut mengajak kerjasama lebih luas antara Kerajaan Negeri, agensi berkaitan dan sektor korporat bagi membangunkan tanah wakaf terbiar di samping memajukan bangunan di tanah wakaf yang bersesuaian.

"Antara projek yang kami sasarkan ialah rumah warga emas, pusat dialisis, hospital dan stesen minyak. Harapan kami adalah supaya dana yang dijana nanti dapat memberi pahala kepada pewakaf yang sudah meninggal dunia dan pewakaf di Selangor," jelasnya.