Pastikan masjid dan surau kekal ruang penyatuan ummah, elak perpecahan - MB

10 Feb 2026, 1:30 PM
Pastikan masjid dan surau kekal ruang penyatuan ummah, elak perpecahan - MB
Pastikan masjid dan surau kekal ruang penyatuan ummah, elak perpecahan - MB
Pastikan masjid dan surau kekal ruang penyatuan ummah, elak perpecahan - MB

AMPANG JAYA, 10 FEB: Semua pengurusan masjid dan surau di Selangor diingatkan supaya memastikan institusi berkenaan terus berfungsi sebagai wadah penyatuan ummah, selain tidak dijadikan medan perpecahan atau dipengaruhi sentimen politik kepartian.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peringatan itu selaras titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang menegaskan masjid dan surau perlu kekal bebas sepenuhnya daripada sebarang pengaruh politik.

“Tuanku bertitah agar memastikan tidak berlakunya aktiviti-aktiviti yang memecah-belahkan di dalam masjid. Masjid sewajarnya menjadi tempat terakhir berlakunya perpecahan.

“Kita dah pecah banyak dah dalam banyak perkara. Dalam politik, persatuan, KRT. Jadi nasihat saya, elak perkara itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Ihya’ Ramadan Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati, di sini hari ini.

Sebelum ini, Sultan Sharafuddin menegaskan masjid dan surau di negeri ini hendaklah kekal sebagai institusi penyatuan ummah serta tidak dipengaruhi sebarang cengkaman politik kepartian.

Baginda turut menegah mana-mana ahli politik daripada menggunakan masjid atau surau sebagai platform meraih sokongan, menyebarkan agenda peribadi atau berselindung di sebalik ceramah agama.

Selain itu, Baginda bertitah mengingatkan bahawa jawatan nazir dan imam bukanlah kedudukan politik untuk direbut demi kepentingan peribadi, sebaliknya merupakan satu amanah besar yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT kelak.