Tindakan pantas petugas TH elak warga emas hilang RM200,000 ditipu sindiket

10 Feb 2026, 9:16 AM
Tindakan pantas petugas TH elak warga emas hilang RM200,000 ditipu sindiket

KUALA BERANG, 10 FEB: Tindakan pantas tiga petugas Tabung Haji (TH) cawangan Kuala Berang di sini berjaya mengelakkan seorang warga emas daripada menjadi mangsa sindiket penipuan membabitkan jumlah RM200,000.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Supt Sharudin Abdul Wahab berkata lelaki berusia 71 tahun itu hadir ke premis berkenaan pada 7 Dis lepas untuk membuat pindahan wang dari TH ke akaun simpanan bank konvensional miliknya.

Beliau berkata ketika berurusan, polis bantuan yang bertugas menyedari warga emas tersebut dalam keadaan menggigil, seperti tidak selesa dan ketakutan.

"Keadaan itu turut disedari pekerja kaunter yang kemudian memaklumkan kepada pengurus cawangan. Setelah disiasat, pihak TH mendapati transaksi tersebut cuba dilakukan atas arahan seorang individu yang menyamar anggota polis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sharudin berkata berdasarkan maklumat berkenaan, pihak TH telah mengambil tindakan drastik dengan menyekat akaun warga emas itu buat sementara.

Beliau berkata kepekaan dan tahap profesionalisme tinggi oleh petugas TH berjaya mengelak warga emas berkenaan daripada kehilangan keseluruhan wang simpanan untuk bekalan masa depannya.

"Pihak polis hari ini telah menganugerahkan sijil penghargaan kepada tiga petugas TH cawangan Kuala Berang, iaitu Mohd Faaiz Mat, Normaiziah Abdul Rahma dan Mohd Rusyidi Che Mohd Rawawi sebagai tanda penghargaan.

"Tindakan pantas mereka bukan sahaja menyelamatkan orang ramai daripada menjadi mangsa sindiket penipuan, malah mencerminkan tahap integriti serta komitmen cemerlang sebagai petugas barisan hadapan TH," katanya.