BANGI, 10 FEB: Kelas percuma anjuran Platform Selangor (PLATS) sejak awal tahun ini membantu peniaga beralih daripada kaedah perniagaan tradisional kepada sistem yang lebih moden dan digital.
Usahawan PLATS, Faznizam Kamarazaman, 39, berkata bengkel sehari itu memberi pendedahan kepada peniaga mengenai pendigitalan sistem bayaran sekali gus memudahkan pengurusan dan pengiraan jualan harian.

“Paling menarik, kelas ini percuma. Jika di luar, kami perlu bayar lebih RM500. Selepas tamat kelas, kami turut menerima peranti percuma iaitu BizApp POS.
“Saya juga mendengar pengalaman rakan-rakan peniaga lain yang menyertai program ini dan memang ada perubahan positif dalam perniagaan mereka,” katanya yang mengusahakan produk makanan retort jenama Nalis Food.
Beliau ditemui pada Kursus Komprehensif Asas Penggunaan Sistem POS PLATS di Hotel Bangi Resort, hari ini, yang disertai lebih 200 usahawan PLATS.
Sementara itu, peniaga pakaian kucing, R. Syamini, 30, berkata penyertaannya dalam kelas percuma sejak Januari lalu di Klang membantu meningkatkan jualan dalam talian.

“Saya belajar menjahit sendiri melalui YouTube. Bila mahu kembangkan perniagaan, saya sertai Platform Selangor. Selain sistem POS, kami turut diajar teknik pemasaran di TikTok.
“Musim perayaan ini memang sesuai untuk tingkatkan jualan, jadi saya harap lebih ramai pelanggan dapat membeli produk saya,” katanya.
Bagi peniaga kuih dan jualan langsung, Zailah Muda, 52, pula sanggup datang lebih 50 kilometer dari Teluk Panglima Garang ke Bangi semata-mata untuk menimba ilmu perniagaan.

Suri rumah itu berkata sebelum ini beliau berniaga secara kecil-kecilan tanpa ilmu perniagaan yang betul.
“Sekarang Kerajaan Negeri sediakan kelas percuma, jadi saya ambil peluang ini walaupun usia sudah melebihi 50 tahun. Lepas ini ada lagi kelas di Shah Alam dan saya memang tidak sabar untuk sertai,” katanya.



