IPOH, 10 FEB: Tiga wanita termasuk seorang warga emas maut dalam dua kemalangan berasingan di Batu Gajah dan Lenggong malam tadi serta awal pagi ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata dua wanita berusia 34 dan 65 tahun terbabit kemalangan di Jalan Tanjung Tualang dekat Batu Gajah.
“Bomba menerima panggilan pada 9.45 malam kemalangan yang membabitkan Perodua Myvi dan Toyota Hilux.
“Dua mangsa tersepit di bahagian pemandu dan penumpang hadapan Perodua Myvi disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sabarodzi berkata bomba juga menerima maklumat kemalangan kedua melibatkan Perodua Bezza yang terbabas di Jalan Baling-Kuala Kangsar dekat Lenggong pada 3.56 pagi tadi.
Beliau berkata kemalangan melibatkan lima individu termasuk tiga wanita dan seorang kanak-kanak perempuan.
“Seorang mangsa wanita yang tersepit dalam kenderaan itu disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan di lokasi kejadian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Gajah Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohammad dalam kenyataan memaklumkan kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang menaiki Perodua Myvi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Batu Gajah.
Md Noor Aehawan berkata pemandu Toyota Hilux berusia 27 tahun mengalami kecederaan pada bahagian lutut dan dua belah tangan juga didapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu Toyota Hilux dalam perjalanan dari arah Kampar ke Bemban, Batu Gajah memotong sebuah kenderaan dan bertembung dengan Perodua Myvi dari arah bertentangan,” katanya.
Beliau berkata pemandu itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


