SHAH ALAM, 9 FEB: Polis sedang mengesan pemilik sebuah kereta Perodua Axia merah yang dipercayai terlibat dalam insiden membaling kon lalu lintas di Plaza Tol Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) seperti tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata pihaknya menerima satu laporan polis berhubung video tular itu selepas dikesan di Facebook pada awal pagi tadi.
Beliau berkata laporan dibuat seorang anggota polis kira-kira jam 1.37 pagi selepas mengesan satu hantaran video bertajuk 'Pemandu Axia naik hantu baling kon di Plaza Tol Petaling Jaya LDP'.
"Rakaman itu memaparkan seorang lelaki menaiki sebuah kenderaan jenis Perodua Axia yang dipercayai memberhentikan kenderaan secara tiba-tiba sebelum bertindak membaling kon ke arah sebuah kenderaan lain ketika keadaan trafik sesak di plaza tol berkenaan.
"Semakan awal mendapati hantaran video itu mendapat perhatian orang ramai di media sosial," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Wan Azlan berkata setakat ini, pemilik kenderaan yang terbabit masih belum tampil membuat laporan polis.
"Kita minta pemilik kenderaan berkenaan supaya tampil bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
"Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil serta Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Pihak polis sedang berusaha mengesan pemilik kenderaan bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kejadian itu," katanya.
Beliau turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan insiden berkenaan supaya tampil menyalurkan maklumat dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Mohammad Faiz Naufal Zakaria di talian 019-485 8907 atau mana-mana balai polis berhampiran.


