Mayat pasangan kekasih ditemui reput, dipercayai mati lebih seminggu

9 Feb 2026, 5:08 AM
Mayat pasangan kekasih ditemui reput, dipercayai mati lebih seminggu

SHAH ALAM, 9 FEB: Mayat lelaki dan wanita yang ditemui reput di rumah Seksyen U13, Setia Alam, di sini dipercayai meninggal dunia lebih seminggu lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata siasatan mendapati kedua-dua mereka dipercayai pasangan kekasih, lapor Harian Metro.

"Siasatan pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menganggarkan (mangsa meninggal dunia) lebih seminggu.

"Mangsa dipercayai pasangan kekasih, yang mana lelaki berusia 36 tahun dan perempuan berusia 39 tahun.

"(Tempoh mangsa menyewa di rumah itu) Masih dalam siasatan polis," katanya kepada media, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan penemuan mayat seorang lelaki dan seorang wanita di sebuah rumah di kawasan berkenaan tiada unsur jenayah.

Ramsay berkata, siasatan awal pihak polis bersama pasukan Forensik IPK Selangor mendapati keadaan rumah itu bertutup, tiada kenderaan dan pintu besi hadapan tidak berkunci.

Katanya, kedua–dua si mati berada di dalam sebuah bilik di tingkat bawah dan mayat sudah mereput.

Tiada sebarang kecederaan pada bahagian tubuh badan kedua-dua mangsa.

Mayat dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat dan siasatan dibuka sebagai mati mengejut (SDR).