KDEBWM laksana pemeriksaan PUSPAKOM secara bergerak untuk kenderaan operasi

9 Feb 2026, 3:01 AM
KDEBWM laksana pemeriksaan PUSPAKOM secara bergerak untuk kenderaan operasi
KDEBWM laksana pemeriksaan PUSPAKOM secara bergerak untuk kenderaan operasi

SHAH ALAM, 9 FEB: KDEB Waste Management (KDEBWM) menjalinkan kerjasama strategik dengan PUSPAKOM Sdn Bhd bagi melaksanakan pemeriksaan PUSPAKOM secara bergerak (mobile) melibatkan kenderaan operasi syarikat, termasuk lori kompaktor dan Armroll/RORO.

Program pemeriksaan bergerak yang dijadual bermula 14 Februari 2026 itu merupakan hasil perbincangan berterusan antara KDEBWM dan PUSPAKOM selaku agensi pemeriksaan kenderaan rasmi negara.

Melalui kaedah ini, pemeriksaan dapat dilakukan terus di lokasi operasi tanpa perlu menghantar kenderaan ke pusat pemeriksaan, sekali gus menjimatkan masa dan mempercepatkan proses.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management, Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata, aspek keselamatan kenderaan sentiasa menjadi keutamaan syarikat dan pendekatan pemeriksaan secara mobile membantu meningkatkan kelancaran operasi harian.

“Setiap enam bulan, lori-lori KDEBWM perlu menjalani pemeriksaan PUSPAKOM, sedangkan kenderaan ini digunakan setiap hari untuk mengutip sisa lebih tujuh juta penduduk di Selangor.

“Dengan pemeriksaan bergerak, masa menunggu dapat dikurangkan dan gangguan perkhidmatan semasa proses pemeriksaan dapat diminimumkan,” katanya.

Dalam pada itu, KDEBWM memaklumkan kerjasama bersama PUSPAKOM penting bagi memperkukuh tadbir urus, meningkatkan standard operasi serta membudayakan pematuhan aspek keselamatan dalam kalangan warga kerja dan subkontraktor.

Syarikat itu berharap kerjasama strategik berkenaan dapat diteruskan dan dijadikan contoh amalan terbaik dalam industri pengurusan sisa pepejal negara pada masa hadapan.