Ribut petir, hujan lebat dijangka landa beberapa negeri hingga 7 malam

8 Feb 2026, 9:16 AM
Ribut petir, hujan lebat dijangka landa beberapa negeri hingga 7 malam

SHAH ALAM, 8 FEB: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda beberapa negeri sehingga 7 malam ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Kawasan terlibat di Kedah meliputi Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu; Pulau Pinang; serta Perak membabitkan Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.

Di Selangor, kawasan Hulu Selangor turut dijangka mengalami cuaca buruk, manakala di Sabah, amaran dikeluarkan bagi kawasan Tawau, termasuk Tawau, Kunak dan Lahad Datu.

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

MetMalaysia turut menjelaskan bahawa amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah untuk tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.