SHAH ALAM, 7 FEB: Kerajaan Negeri mencapai keputusan muktamad berhubung isu laluan masuk ke Kuil Sri Maha Mariamman di Taman Koperasi Cuepacs, dengan tiga rumah ibadat bersetuju berpindah ke kawasan rizab digazetkan.
EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berkata laluan masuk ke tapak kuil hanya dibenarkan melalui rizab jalan dari Jalan Sungai Long bagi memastikan pematuhan undang-undang serta mengelakkan konflik dengan penduduk setempat.
Menurut beliau, cadangan menggunakan jalan perumahan sedia ada dan pembinaan jalan sementara ditolak kerana berpotensi mencetuskan bantahan penduduk selain menimbulkan isu keselamatan.
Sebagai penyelesaian muktamad katanya, Kerajaan Negeri mencadangkan pembinaan satu jalan baharu dari Jalan Sungai Long selebar tujuh meter dengan anggaran panjang kira-kira 383 meter.
Pembinaan jalan tersebut dianggarkan menelan kos sekitar RM3.3 juta dan dilihat sebagai penyelesaian paling sesuai bagi menamatkan konflik berpanjangan selain menyokong pembangunan terancang di kawasan berkenaan.
Papparaidu berkata pemilik-pemilik tanah yang terlibat dalam pembangunan kawasan tersebut akan turut menyumbang kepada kos pembinaan jalan baharu berkenaan.
Beliau menjelaskan keputusan itu merupakan langkah penting bagi menjamin keharmonian semua pihak termasuk penduduk Taman Desa Baru, Taman Koperasi Cuepacs serta Kuil Sri Maha Mariamman.
“Pada pagi tadi (semalam) dalam Mesyuarat EXCO Negeri Selangor telah mensyorkan supaya pembinaan jalan baharu ini diluluskan dan dilaksanakan dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurutnya, mesyuarat sama turut membenarkan tindakan penguatkuasaan terhadap binaan tanpa kelulusan di rizab jalan serta menetapkan mekanisme sumbangan kos oleh pemilik tanah lain yang akan menggunakan laluan tersebut pada masa hadapan.
Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Negeri turut memaklumkan tapak Tanah Perkuburan Islam di PJS 4 yang telah digazetkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor akan dibangunkan segera bagi membolehkan pelaksanaan kerja oleh kontraktor dilantik.
Keputusan itu dicapai susulan persetujuan tiga rumah ibadat iaitu Sri Maha Mariamman Desa Perangsang, Sri Kottai Maduraiveeran Taman Desa Ria dan Persatuan Penganut Sikh Petaling Tin untuk berpindah ke kawasan rizab digazetkan sebagai langkah memelihara keharmonian antara kaum di Selangor.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Dato' Menteri Besar, barisan Ahli EXCO serta semua pegawai kerajaan yang telah membantu menyelesaikan perkara ini dengan penuh ketelitian,” katanya.


