Rompakan peti besi RM3 juta, polis terus siasat CCTV, kesan suspek

7 Feb 2026, 5:31 AM
Rompakan peti besi RM3 juta, polis terus siasat CCTV, kesan suspek

SHAH ALAM, 7 FEB: Polis giat menjalankan siasatan berhubung kes rompakan peti besi bernilai hampir RM3 juta di Taman Hillview, Hulu Klang, yang dilaporkan berlaku pada 23 Disember tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid, berkata siasatan merangkumi pemeriksaan semua rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan kejadian bagi mengenal pasti suspek.

“Kes masih dalam siasatan dan semua CCTV di kawasan sekitar kediaman mangsa telah diperiksa,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

Terdahulu, media melaporkan seorang usahawan kerugian hampir RM3 juta selepas tiga lelaki memecah masuk rumahnya dan melarikan peti besi seberat hampir 100 kilogram yang mengandungi wang tunai serta emas. Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dan isterinya pulang ke kampung di Kelantan.

Susulan kejadian itu, polis menahan enam individu termasuk seorang wanita warga asing bagi membantu siasatan. Namun, hasil siasatan mendapati kesemua mereka tidak terbabit dan telah dibebaskan.