Kerajaan Negeri fokus pulih 14 projek perumahan utama

6 Feb 2026, 9:41 AM
Kerajaan Negeri fokus pulih 14 projek perumahan utama

SHAH ALAM, 6 FEB: Kerajaan Selangor memfokuskan pemulihan 14 projek perumahan utama di negeri ini, termasuk Rumah Selangorku Morib Bay.

EXCO perumahan berkata daripada jumlah tersebut, tujuh projek dijangka siap manakala selebihnya berada dalam fasa cadangan penyelesaian yang melibatkan pelantikan kontraktor penyelamat, tindakan pemaju serta intervensi langsung oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Jelas Datuk Borhan Aman Shah, hasil pelaksanaan langkah pemulihan itu menunjukkan kemajuan ketara apabila sebahagian projek telah memperoleh Sijil Perakuan Kelayakan Menduduki (CF) serta Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

"Saya ingin menegaskan Kerajaan Negeri tidak mengabaikan isu projek terbengkalai, sebaliknya mengambil pendekatan berhemah dan berasaskan kebolehlaksanaan bagi mempercepatkan projek yang berpotensi disiapkan.

"Langkah ini turut bertujuan menangani kekangan serius melalui saluran perundangan dan teknikal serta memastikan kepentingan pembeli dilindungi secara telus dan bertanggungjawab," katanya kepada Media Selangor.

Borhan berkata antara projek yang diberi perhatian khusus ialah projek Rumah Selangorku serta pembesaran kampung yang melibatkan jumlah unit besar dan memberi kesan langsung kepada komuniti setempat.

Bagi projek seperti Rumah Selangorku Morib Bay dan beberapa projek lain, beliau berkata langkah pemulihan telah dikenal pasti hasil siri rundingan berterusan sehingga berjaya mendapatkan pemaju penyelamat.

Beliau memaklumkan sehingga Disember 2025, Selangor merekodkan 161 projek perumahan bermasalah merangkumi 40 projek perumahan terbengkalai dan 121 projek perumahan sakit atau bermasalah.

“Daripada 40 projek perumahan terbengkalai, ia melibatkan 16,001 unit dengan 7,964 unit telah dijual kepada pembeli,” katanya.

Tambahnya, 18 projek berada dalam perancangan pemulihan, 17 projek sedang dipulihkan manakala lima projek berada dalam keadaan statik dan memerlukan penelitian lanjut dari aspek perundangan, kewangan serta pemilikan tanah.

Sementara itu, 121 projek perumahan sakit sedang ditangani menerusi pemantauan rapi dan intervensi awal bagi memastikan ia tidak berkembang menjadi projek terbengkalai.