SHAH ALAM, 6 FEB: KDEB Waste Management (KDEBWM) terus memperkukuh perkhidmatan kutipan sisa pepejal di Subang Jaya dan Petaling Jaya menerusi penyelarasan zon operasi, pemantauan kawasan tumpuan serta kerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan kutipan lebih berkesan dan teratur.
Ketua Operasi KDEBWM Subang Jaya, Mohd Ridhuan Tahir berkata operasi kutipan sampah domestik di kawasan itu kini melibatkan 57 zon berbeza dengan sokongan 77 lori kompaktor bagi menampung keperluan penduduk setempat.
Menurut beliau, penyelarasan kawasan operasi itu bertujuan menambah baik kecekapan perkhidmatan selain memastikan laluan kutipan lebih sistematik dan mudah dipantau.
“Selepas pelaksanaan penyelarasan kawasan, papan tanda baharu yang memaparkan jadual kutipan sampah akan dipasang sebagai rujukan penduduk,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau turut memaklumkan kontraktor baharu yang terlibat dalam operasi kutipan juga memerlukan tempoh penyesuaian bagi membiasakan diri dengan kawasan operasi yang telah disusun semula.
Sementara itu, Ketua Operasi KDEBWM Petaling Jaya, Afiq Abas berkata operasi kutipan sampah domestik di Petaling Jaya kini meliputi 59 zon dan dibantu 74 lori kompaktor bagi memastikan perkhidmatan berjalan secara konsisten dan memenuhi keperluan penduduk.
Menurutnya, aduan penduduk di kawasan SS20 dan Seksyen 22 yang pernah tular sebelum ini merupakan isu lama yang berlaku ketika fasa peralihan kontrak baharu pada tahun lalu.
“Aduan tersebut berlaku ketika fasa peralihan kontrak baharu, melibatkan masalah lori rosak sekitar pertengahan September dan Oktober, namun situasi itu berjaya diatasi,” katanya.

Dalam usaha membendung pembuangan sampah haram, Afiq berkata pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam menerusi penempatan kamera litar tertutup (CCTV) mudah alih di lokasi dikenal pasti sebagai hotspot.
Beliau berkata langkah itu membantu pemantauan lebih berkesan selain meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan menjaga kebersihan persekitaran.
Sehubungan itu, penduduk dinasihatkan merujuk saluran rasmi KDEBWM termasuk aplikasi iClean Selangor dan laman sesawang syarikat bagi mendapatkan jadual kutipan terkini serta makluman semasa berkaitan perkhidmatan kutipan sampah.






