Budak tiga tahun rentung dalam kebakaran tiga rumah di Banting

6 Feb 2026, 2:51 AM
Budak tiga tahun rentung dalam kebakaran tiga rumah di Banting

SHAH ALAM, 6 FEB: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ditemukan rentung dalam kebakaran yang memusnahkan tiga rumah di Kampung Seri Cheeding, Banting, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.44 pagi.

Menurut beliau, sepasukan 17 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Panglima Garang, Banting dan KLIA dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Menurut laporan awal, kejadian membabitkan tiga rumah dengan setiap unit terbakar 90 peratus.

“Maklumat awal yang diterima juga menyatakan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun terperangkap di dalam rumah,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad Mukhlis berkata, operasi pemadaman serta usaha menyelamat mangsa segera dijalankan sebaik pasukan bomba tiba di lokasi.

Katanya, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.30 pagi.

“Kira-kira satu jam kemudian iaitu jam 4.15 pagi, kami menemukan mangsa di bilik utama dalam keadaan rentung,” katanya.