SHAH ALAM, 5 FEB: Aneka Walk di Seksyen 14, Shah Alam akan menyediakan kemudahan solat Tarawih pada bulan Ramadan ini bagi memudahkan pengunjung Kompleks PKNS Shah Alam.
Ketua Pegawai Eksekutif SA Sentral, Datuk Mohd Najib Ibrahim berkata kemudahan berkenaan telah disediakan walaupun pusat aktiviti itu masih dalam fasa persiapan.
“Apabila siap, kita akan mempunyai lebih 140 ruang niaga dengan pelbagai pilihan daripada sektor makanan dan minuman, fesyen, seni kraf serta muzik,” kata Mohd Najib sambil menambah perasmiannya dijangka pada April depan.
Mohd Najib berkata, Aneka Walk dibangunkan berteraskan konsep laluan pejalan kaki mesra pengguna, dengan struktur bumbung yang menggunakan teknologi tahan haba bagi menjamin keselesaan pengunjung.
Menurutnya, Aneka Walk turut dilengkapi integrasi teknologi pintar termasuk analitik kamera litar tertutup (CCTV) dan kecerdasan buatan (AI), peranti fizikal bagi pemantauan kualiti udara, serta sambungan gentian optik berkelajuan tinggi.
“Kami turut menmpilkan persembahan air pancut berirama dengan gubahan muzik eksklusif oleh KRU Entertainment, selaku rakan strategik dalam menjayakan Aneka Walk,” katanya.
Aneka Walk merupakan sebahagian daripada pembangunan SA Sentral menerusi pelaburan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), yang bertujuan menghidupkan semula laluan pejalan kaki di antara Kompleks PKNS dan SACC Mall.
Dengan keluasan 4,500 meter persegi sepanjang 300 meter, Aneka Walk yang turut berfungsi sebagai hab acara dan budaya berupaya menampung sehingga 3,000 pengunjung pada satu-satu masa.


