Imigresen tumpaskan sindiket ‘Badul’, kaut untung RM1 juta setahun

5 Feb 2026, 10:04 AM
Imigresen tumpaskan sindiket ‘Badul’, kaut untung RM1 juta setahun

PUTRAJAYA, 5 FEB: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket yang aktif menjalankan kegiatan membekalkan pekerja asing terlibat dalam penipuan kuota pekerja asing dikenali sebagai “Badul”, menerusi Ops Serkap di sebuah premis perniagaan di Jalan Desa Pandan, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi oleh Bahagian Penguatkuasaan itu hasil maklumat risikan sebelum pasukan operasi menyerbu premis berkenaan di tingkat dua sebuah kedai.

Beliau berkata sembilan individu berusia antara 26 hingga 61 tahun ditahan, terdiri daripada lapan lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Indonesia, manakala dua saman saksi dikeluarkan kepada warga tempatan yang bekerja di syarikat terbabit bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati syarikat berkenaan menyalahgunakan kelulusan kuota pekerja asing yang diberikan khusus untuk kegunaan sendiri dengan menjual, memindahkan dan mengagihkan tenaga kerja asing kepada pihak ketiga tanpa sebarang kelulusan pihak berkuasa.

“Setiap urusan dikenakan bayaran antara RM3,000 hingga RM8,000 bagi setiap permohonan, sekali gus memperlihatkan unsur komersialisasi dan pemerdagangan tenaga kerja asing secara terancang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata berdasarkan maklumat diperoleh, syarikat terbabit dipercayai mengaut keuntungan hampir RM1 juta setahun.

Zakaria berkata modus operandi sindiket merangkumi penyediaan surat cuti palsu kepada pekerja asing sebagai helah sekiranya mereka ditahan dalam operasi penguatkuasaan, selain menguruskan pembebasan pekerja asing yang ditangkap dengan mengenakan bayaran tertentu, seolah-olah undang-undang boleh dirunding dan dibeli.

“Sindiket ini turut bertindak sebagai orang tengah dalam urusan pembaharuan pas kerja dan visa dengan bayaran tertentu tanpa kebenaran pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati sindiket berkenaan aktif membekalkan pekerja asing tanpa kebenaran pihak berkuasa di seluruh Semenanjung Malaysia, sekali gus mencerminkan penyalahgunaan sistem imigresen negara secara terancang yang mengancam keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara.

Hasil penggeledahan menemukan pasport Indonesia sebanyak 22, pasport Bangladesh (20), pasport Pakistan (lima) dan pasport India (satu), selain 497 keping i-Kad pekerja asing, 38 keping kad Lembaga Pembangunan Industri Binaan Malaysia (CIDB), wang tunai kira-kira RM13,000, selain pelbagai dokumen serta peralatan berkaitan.

Zakaria berkata semua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963, sambil menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam melindungi, menggaji atau bersubahat dengan warga asing tanpa dokumen sah.