RAWANG, 4 FEB: Media Selangor Sdn Bhd mengadakan kunjungan hormat ke Hospital Pakar Selgate bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama membabitkan kerjasama kandungan serta pembangunan industri kedua-dua pihak.
Ketibaan Media Selangor yang diketuai Ketua Pengarang, Noor Azam Shairi, disambut oleh Ketua Pegawai Strategik Selgate Healthcare, Tengku Iesta Tengku Alaudin di Hospital Pakar Selgate, di sini, hari ini.
Dalam kunjungan kira-kira dua jam itu, wakil Media Selangor turut dibawa melawat ke keseluruhan bangunan yang menempatkan pelbagai perkhidmatan perubatan termasuk ortopedik, obstetrik dan ginekologi serta pediatrik.
Tengku Iesta berkata, hubungan baik antara Media Selangor dan Selgate Corporation sudah terjalin sejak 2015 dan pihaknya berharap ia dapat terus diperkukuh ke arah kerjasama strategik yang lebih luas.

“Ini merupakan fasa baharu kepada Selgate, terutamanya dengan bermulanya operasi Hospital Pakar Selgate di Rawang. Kami harap kunjungan Media Selangor ini dapat memulakan fasa baharu dalam kolaborasi kita pada masa akan datang,” katanya.
Hospital Pakar Selgate Rawang menawarkan pelbagai perkhidmatan pakar dan diagnostik, termasuk ortopedik, obstetrik dan ginekologi, pediatrik, pembedahan am, radiologi serta anestesiologi.
Hospital pertama di bawah jenama SELGATE yang terletak secara strategik di Persiaran Anggun Ria, Rawang itu dibina di atas kawasan seluas kira-kira 2.42 hektar, selain mampu memuatkan 224 katil.
Hospital Pakar Selgate Rawang juga menawarkan lebih 500 ruang letak kereta termasuk kemudahan parkir bertingkat, bagi memberi kemudahan yang terbaik untuk pesakit dan pelawat.




