Media Selangor raih dua anugerah media MBDK

1 Dis 2025, 5:50 AM
Media Selangor raih dua anugerah media MBDK
Media Selangor raih dua anugerah media MBDK
Media Selangor raih dua anugerah media MBDK

SHAH ALAM,1 DIS: Media Selangor merangkul dua anugerah pada Malam Apresiasi Media Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) yang berlangsung di Royal Selangor Yacht Club, Jumaat lalu.

Wartawan Siti Rohaizah Zainal memenangi anugerah Laporan Berita TV Terbaik menerusi laporan khas Asrama Berpusat Atasi Isu Penempatan Tidak Terkawal di Klang.

Sementara Aliff Haiqal Mohamed pula memenangi Anugerah Berita Klang Bandaraya Diraja dengan berita Setahun Klang Bandaraya Diraja yang disiarkan menerusi program Bicara Semasa.

Dihadiri lebih 70 pengamal media daripada pelbagai agensi, anugerah disampaikan Datuk Bandar Klang Dato’ Abdul Hamid Hussain.

Abdul Hamid dalam ucapannya memaklumkan media memainkan peranan amat penting dalam jaringan pentadbiran serta merupakan rakan strategik yang menghubungkan MBDK dengan lebih sejuta warga Klang.

“Setiap laporan, rencana dan visual yang dihasilkan menyumbang kepada ketelusan pentadbiran MBDK. Setiap laporan berkaitan isu seperti pembuangan sampah haram, anjing liar atau kesesakan lalu lintas, ia bertindak sebagai semak dan imbang.

“Contohnya program pembersihan Sungai Klang yang berjaya mengutip 1,234 kilogram sampah atau kemeriahan Gerbang Deepavali di Jalan Tengku Kelana, ia membantu memupuk kesedaran sivik dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk,” katanya.

Katanya, memasuki tahun kedua pengisytiharan Klang sebagai Bandar Raya Diraja, pelbagai cabaran ditempuh di samping pencapaian yang membanggakan.

“MBDK sedang giat memastikan status baharu ini diterjemahkan kepada kualiti hidup yang lebih baik untuk semua penduduk. Isu pengurusan sisa, pembangunan lestari dan penyampaian perkhidmatan memerlukan komitmen berterusan,” ujarnya.