KLANG, 26 NOV: Wartawan tidak perlu rasa bersalah memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam tugasan harian selagi ia digunakan sebagai alat sokongan dan bukan jalan pintas yang mengurangkan kualiti kerja.
Ketua Editor Media Sosial Astro Awani Hilal Azmi menjelaskan, penggunaan AI adalah sesuatu yang normal dan semakin menjadi keperluan dalam bilik berita, namun wartawan harus berhati-hati agar tidak bergantung sepenuhnya.
"Tak perlu rasa bersalah selagi kita tidak menggunakan AI untuk kerja malas. Masalahnya bila ada teknologi yang memudahkan, kita cenderung untuk ‘copy paste’ sahaja.
"AI perlu dilihat sebagai alat yang membantu wartawan menjadi lebih kreatif, teliti dan efisien tanpa mengabaikan proses editorial profesional," katanya pada Forum AI & Media: Perspektif Baharu Cabaran dan Peluang anjuran Media Selangor di Hotel Wyndham, di sini, semalam.
Menurutnya, terdapat tiga peringkat penggunaan AI yang sesuai digunakan secara beretika, iaitu pencarian maklumat atau kajian awal, penyediaan draf penulisan dan menilai semula kefahaman serta kejelasan maklumat yang ingin disampaikan.
"Apa sahaja teknologi termasuk AI, hanya alat. Wartawan tetap perlu fikir, menilai dan semak fakta. Jangan sekali-kali serahkan 100 peratus kerja kepada AI," ujarnya.
Beliau turut mengingatkan walaupun teknologi mampu membantu mempercepat proses kerja, peranan wartawan sebagai manusia yang membuat interpretasi, penilaian dan pengesahan maklumat tidak boleh digantikan.
"Jika AI benar-benar mampu lakukan 100 peratus kerja wartawan, lima tahun lagi mungkin jawatan wartawan sudah tiada, hanya editor. Namun, manusia tetap diperlukan untuk semakan fakta dan membuat keputusan editorial," katanya.
Forum AI & Media: Perspektif Baharu Cabaran dan Peluang yang disertai lebih 100 peserta daripada pelbagai agensi anjuran Media Selangor, bertujuan meningkatkan kefahaman mengenai peranan teknologi kecerdasan buatan dalam komunikasi rasmi, selain mengukuhkan kemahiran dalam menghasilkan kandungan yang lebih tepat, kreatif dan responsif selaras keperluan penyampaian maklumat Kerajaan Negeri.
Perkongsian selama dua jam itu menampilkan panel terdiri daripada Hilal, Pengarah Pusat Kecemerlangan bagi Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber (AICS) MSU Prof Dr Muhammad Irsyad Abdullah serta Ahli Lembaga Pengasas Majlis Media Selangor, Radzi Razak.








