KUALA LUMPUR, 15 DIS: Bengkel Penyediaan Kandungan Media Sosial dan Penulisan Kreatif anjuran Media Selangor Sdn Bhd dilihat mampu membantu pihak berkuasa tempatan meningkatkan kualiti penyampaian maklumat serta komunikasi dengan penduduk melalui platform digital.
Pengarang Kanan Media Selangor, Khairulnizam Bakeri berkata media sosial kini menjadi medium penting dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan maklumat disampaikan dengan lebih berkesan dan dipercayai masyarakat.
“Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) adalah pihak berkuasa tempatan pertama yang menyertai bengkel dianjurkan Media Selangor ini.
"Pengalaman luas serta hubungan strategik Media Selangor dengan pelbagai pemegang taruh menjadi nilai tambah dalam membantu peserta memahami landskap media sosial terutama dalam pengurusan persepsi dan kepercayaan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Bengkel Penyediaan Kandungan Media Sosial dan Penulisan Kreatif yang berlangsung di Hotel Seri Pacific hari ini.
Sementara itu, Ketua Bahagian Korporat MPHS, Junainah Abdullah berkata bengkel tersebut bertujuan meningkatkan kemahiran kakitangan dalam pengurusan media khususnya penggunaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI).
“Peranan media sangat besar dalam membentuk serta mengubah persepsi penduduk terhadap perkhidmatan yang disediakan majlis.
"Saya yakin kepakaran Media Selangor mampu membantu MPHS meningkatkan kualiti perkhidmatan sekali gus memberi manfaat terbaik kepada penduduk di Hulu Selangor,” ujarnya.
Bengkel dua hari bermula hari ini dan esok itu memfokuskan kepada teknik penulisan serta penghasilan kandungan media sosial yang lebih strategik, kreatif dan relevan bagi membantu meningkatkan keberkesanan penyampaian maklumat serta imej organisasi.




