SHAH ALAM, 4 FEB: Seorang wanita disyaki pengedar dadah maut, manakala rakannya parah selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka terbabas di hadapan Pejabat Tanah, Jalan Suka Menanti, Alor Setar, Kedah, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali, berkata kejadian berlaku jam 8.20 malam ketika anggotanya sedang melakukan Op Gempur di kawasan itu, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, sebaik melihat kenderaan dinaiki kedua-dua wanita itu dalam keadaan mencurigakan, polis mengejar sebelum berlaku kemalangan.
"Seorang daripada suspek meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi parah.
"Polis turut menemui satu plastik berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 210 gram," katanya ketika dihubungi hari ini.
Syed Basri berkata, suspek iaitu pemandu kereta berusia 37 tahun parah dan hasil siasatan mendapati dia mempunyai 12 rekod jenayah lalu berkaitan dadah.
"Rakannya pula mempunyai tiga rekod kes dadah dan satu kes jenayah. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk tindakan lanjut dan suspekl yang parah dirawat di hospital sama," katanya.


