SHAH ALAM, 3 FEB: Rangka enam individu termasuk empat kanak-kanak dipercayai menjadi mangsa pembunuhan ditemui di sebuah rumah yang musnah terbakar di kebun kelapa sawit di Kangkar Pulai, Johor Bahru.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata rangka yang memiliki kesan terbakar ditemui pada 9 Januari lalu oleh seorang lelaki berusia 48 tahun yang sedang mengesan ahli keluarganya yang terputus hubungan sejak tiga bulan lalu, lapor Harian Metro.
Beliau berkata lelaki itu mendakwa lokasi berkenaan menjadi tempat tinggal isteri serta anak-anaknya selepas mereka berpisah. Laporan polis dibuat pada hari sama iaitu pada jam 1.28 tengah hari pada 9 Januari lalu.
"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri menerima laporan daripada lelaki itu yang sedang mencari isteri dan anak-anaknya berhubung penemuan rangka manusia di dalam rumah terbakar.
"Hasil bedah siasat ke atas rangka-rangka terbabit mengesahkan kehadiran sekurang-kurangnya seorang mangsa dewasa dan seorang mangsa kanak-kanak atau lebih.
"Rangka berkenaan ditemukan dalam keadaan tidak berlerai, hasil laporan patalogi dan bedah siasat, kematian mereka dianggarkan mencecah tempoh tiga bulan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati enam mangsa termasuk seorang ibu berusia 35 tahun bersama tiga anak perempuan berusia 5,9,17 dan anak lelaki berusia dua tahun serta seorang lelaki dewasa dipercayai rakan lelaki wanita itu berusia 29 tahun.
Menurutnya, bertindak atas maklumat, pada 4 petang, 21 Januari lalu, polis menahan empat suspek termasuk tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia antara 19 hingga 35 tahun di kawasan Iskandar Puteri bagi membantu siasatan.
Katanya, hasil semakan mendapati semua suspek memiliki rekod jenayah lampau manakala ujian air kencing awal ke atas tiga suspek menunjukkan keputusan positif bagi dadah jenis methamphetamine.
"Hubungan suspek dengan si mati iaitu lelaki dan wanita dewasa adalah rakan dan pernah terbabit dalam penyalahgunaan dadah.
"Manakala anak wanita berkenaan tidak bersekolah serta lokasi itu terletak dua kilometer daripada laluan utama, terdapat sebuah kuil bersebelahan dan jauh dari penempatan lain.
"Kertas siasatan dirujuk kepada pejabat Peguam Negara dan keputusan dibuat untuk mendakwa dua suspek lelaki di bawah kesalahan Seksyen 302 Kanun Keseksaan (kesalahan bunuh).
"Pertuduhan ke atas kedua-dua suspek akan dibacakan di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 4 Februari sekiranya disabitkan bersalah, hukuman boleh mencapai hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak lebih daripada 40 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.
"Manakala dua lagi suspek dibebaskan dengan bon," katanya.
Beliau berkata, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan maklumat tidak sahih atau sebarang hantaran yang boleh mengganggu siasatan serta prosiding mahkamah.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi talian hotline siasatan," katanya.


