Sultan Selangor dukacita insiden bakar suar, tidak berkenan budaya samseng

3 Feb 2026, 7:24 AM
Sultan Selangor dukacita insiden bakar suar, tidak berkenan budaya samseng

SHAH ALAM, 3 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa dukacita dan kecewa terhadap insiden membakar suar di Jambatan Angkat, Kuala Terengganu yang didakwa membabitkan penyokong pasukan Selangor FC.

Selangor Royal Office memaklumkan Baginda sebagai penaung Selangor FC tidak berkenan dengan sebarang kegiatan tidak bermoral, termasuk budaya samseng dan gangsterisme yang semakin menular dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan, khususnya mereka yang memakai jersi pasukan Selangor FC.

“Baginda mahu pihak polis mencari dalang di sebalik insiden tersebut dan sekiranya didapati bersalah, mereka yang terbabit harus dihukum dengan hukuman maksimum dan setimpal mengikut undang-undang.

“Ia sebagai pengajaran kepada penyokong Selangor FC yang lain supaya insiden seumpamanya tidak berulang,” titah Baginda menerusi kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Baginda menyeru semua penyokong Selangor FC agar sentiasa mengawal tingkah laku, menjaga disiplin serta memelihara nama baik pasukan dan negeri.

Baginda turut mencadangkan agar mana-mana penyokong Selangor FC yang disabitkan kesalahan kerana menimbulkan kekacauan diharamkan daripada memasuki stadium bagi menghadiri sebarang perlawanan yang membabitkan pasukan itu.

Terdahulu, Selangor FC dalam satu kenyataan hari ini menyatakan kekesalan terhadap insiden yang melibatkan segelintir minoriti penyokong di Jambatan Angkat, Kuala Terengganu sebelum perlawanan Liga Super 2025/26 menentang Terengganu FC pada 1 Februari lalu.

Kelab itu turut menegaskan mereka tidak akan berkompromi serta mengecam sebarang bentuk tingkah laku yang melanggar undang-undang dan mengancam keselamatan orang awam, yang jelas bercanggah dengan nilai-nilai yang diperjuangkan oleh Selangor FC.