Bakar suar, tempoh reman sembilan penyokong Selangor FC disambung sehari

4 Feb 2026, 8:13 AM
Bakar suar, tempoh reman sembilan penyokong Selangor FC disambung sehari

SHAH ALAM, 4 FEB: Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini, membenarkan permohonan lanjutan reman terhadap sembilan penyokong Selangor FC yang dipercayai membakar suar di Jambatan Angkat, Ahad lalu, disambung sehari lagi.

Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin membenarkan perintah lanjutan itu sehingga esok bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam, lapor Berita Harian.

Mahkamah Majistret di sini, kelmarin, membenarkan perintah reman selama tiga hari terhadap kumpulan penyokong berkenaan bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

Perintah reman terbabit berakhir hari ini sebelum polis memohon lanjutan reman terhadap semua terbabit.

Media sebelum ini melaporkan 33 penyokong Selangor FC direman kerana disyaki terbabit dalam perbuatan mengganggu ketenteraman awam, memiliki bahan terlarang serta menghalang tugas penjawat awam.

Semua yang ditahan dibawa ke mahkamah kira-kira jam 10.15 pagi dan difahamkan mereka dipercayai melakukan perbuatan itu di sepanjang laluan Jambatan Angkat kira-kira jam 6.30 petang.