Penyokong Selangor FC sokong cadangan Sultan Selangor haramkan pembuat kekacauan ke stadium

4 Feb 2026, 7:55 AM
Penyokong Selangor FC sokong cadangan Sultan Selangor haramkan pembuat kekacauan ke stadium

SHAH ALAM, 4 FEB: Peminat Selangor FC menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj agar penyokong Gergasi Merah yang terlibat dalam kekacauan diharamkan daripada memasuki stadium bagi menghadiri perlawanan membabitkan pasukan itu.

Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd Faizal Wahid berkata, sebagai rakyat Selangor, penyokong bola sepak negeri ini wajar menghormati dan mematuhi titah Sultan Selangor yang juga Penaung Selangor FC.

Menurut beliau, cadangan tersebut bukan bertujuan menghukum semata-mata, sebaliknya demi menjaga imej negeri serta masa depan bola sepak Selangor, lapor Berita Harian.

“Titah Sultan Selangor jelas menunjukkan Baginda amat dukacita dengan insiden kekacauan yang berlaku di Jambatan Angkat Kuala Terengganu, yang mencemarkan nama baik Selangor.

“Isu ini menjadi perbualan hangat di media sosial dan mengundang pelbagai kecaman, sekali gus menjejaskan maruah pasukan dan rakyat Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Sultan Sharafuddin yang dizahirkan menerusi laman Facebook Selangor Royal Office, berhubung insiden membakar suar yang didakwa melibatkan penyokong Selangor FC.

Dalam kenyataan itu, Baginda menzahirkan rasa amat kecewa terhadap perbuatan tidak bermoral termasuk unsur samseng dan gangsterisme yang semakin menular dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan, khususnya mereka yang mengenakan jersi Selangor FC.

Sultan Selangor turut mencadangkan agar penyokong yang disabitkan kesalahan menimbulkan kekacauan diharamkan daripada memasuki stadium bagi mana-mana perlawanan membabitkan pasukan itu.

Mengulas lanjut, Mohd Faizal berharap insiden di Terengganu dijadikan pengajaran kepada semua penyokong, bukan sahaja Selangor FC, malah peminat bola sepak di seluruh negara.

“Peminat berhak menikmati perlawanan dalam suasana aman dan bersemangat kesukanan tanpa sebarang kekacauan yang boleh mencemarkan imej pasukan dan negeri,” katanya.