KDEBWM pusatkan jadual kutipan sampah, mudahkan penduduk akses maklumat tepat

3 Feb 2026, 3:54 AM
KDEBWM pusatkan jadual kutipan sampah, mudahkan penduduk akses maklumat tepat
KDEBWM pusatkan jadual kutipan sampah, mudahkan penduduk akses maklumat tepat
KDEBWM pusatkan jadual kutipan sampah, mudahkan penduduk akses maklumat tepat

SHAH ALAM, 3 FEB: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) akan memusatkan semua jadual kutipan sampah di laman sesawang dan platform media sosialnya, bagi menangani kekeliruan orang awam mengenai maklumat kutipan sisa yang berpecah-pecah.

Pengarah Urusannya Datuk Ramli Mohd Tahir berkata langkah itu membolehkan penduduk mengakses maklumat secara terus tanpa perlu merujuk ke portal 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.

"Kami sebelum ini memuat naik jadual kutipan dalam kumpulan sembang ahli majlis atau badan pengurusan bersama.

"Memandangkan kebimbangan orang awam mengenai maklumat yang tidak jelas, kami kini akan meletakkan jadual berkenaan di media sosial dan laman sesawang supaya orang ramai boleh mengaksesnya secara terus," katanya seperti dilapor The Star.

Ramli menegaskan, pemusatan jadual kutipan mengikut kawasan akan membantu penduduk merancang pengurusan sampah mereka dengan lebih berkesan.

"Maklumat yang jelas dan mudah diakses akan mengurangkan kekeliruan orang awam, dan pada masa sama memastikan operasi kutipan sampah berjalan lancar," katanya.

Selain itu, KDEBWM berhasrat menggantikan papan tanda lama berwarna biru dan putih dengan papan tanda baharu berwarna merah dan kuning di seluruh Selangor, dengan setiap kawasan perumahan mempunyai sekurang-kurangnya dua papan tanda di pintu masuk dan keluar.

"KDEBWM telah memasang kira-kira 6,000 hingga 8,000 papan tanda jadual kutipan sampah di seluruh negeri," katanya.

Sebelum ini, papan tanda di beberapa kawasan termasuk USJ3, Subang Jaya telah rosak atau tidak lagi jelas dibaca, menyukarkan penduduk mengetahui jadual kutipan sebenar, termasuk hari dan masa perkhidmatan.

Orang awam juga boleh menggunakan aplikasi mudah alih iClean Selangor untuk mengemukakan aduan dan memohon perkhidmatan seperti kutipan sisa pukal.

Menurut laporan, gangguan perkhidmatan masih berlaku di beberapa kawasan di Subang Jaya dan Petaling Jaya susulan pemeteraian kontrak pengurusan sisa baharu antara KDEBWM dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) serta Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), yang menimbulkan cabaran dari segi pengangkutan dan tenaga kerja.

Kontrak KDEBWM dengan MBPJ berkuat kuasa 1 November 2025 hingga 31 Oktober 2032, menelan kos RM67.9 juta setahun, meningkat 13.51 peratus berbanding kontrak terdahulu.

Sementara itu, kontrak KDEBWM dengan MBSJ yang ditandatangani pada 18 Disember lalu akan berlangsung dari 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2033 dengan kos RM82.9 juta setahun, berbanding RM73.3 juta setahun sebelum ini.