Nelayan dikhuatiri lemas, bot terbalik dilanggar bot lain

2 Feb 2026, 8:11 AM
Nelayan dikhuatiri lemas, bot terbalik dilanggar bot lain

SHAH ALAM, 2 FEB: Seorang nelayan tempatan dikhuatiri lemas manakala pekerjanya terselamat selepas bot dinaiki mereka dipercayai dilanggar sebuah bot lain sebelum terbalik dalam kejadian di perairan Pengerang, Kota Tinggi malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita tempatan yang memaklumkan bot dinaiki suaminya bersama seorang pekerja terbalik sekitar jam 9.50 malam.

Menurut beliau, sepasukan anggota penyelamat daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Pengerang digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

“Siasatan awal mendapati bot fiber dinaiki seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun bersama pekerjanya iaitu warga asing berusia 32 tahun dipercayai dilanggar sebuah bot lain yang masih belum dikenal pasti pemiliknya.

“Akibat pelanggaran itu, bot berkenaan terbalik sebelum pekerja terbabit ditemui selamat ketika berpaut pada kayu bot oleh PPM Wilayah Dua Pengerang,” katanya menerusi kenyataan media hari ini, lapor Harian Metro.

Bagaimanapun katanya, nelayan tempatan berkenaan masih belum ditemui sehingga kini dan usaha pencarian diteruskan.

Dalam pada itu, Yusof memohon kerjasama nelayan serta orang awam yang berada di sekitar lokasi kejadian agar membantu menyalurkan maklumat bagi mengesan mangsa.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi di talian 07-883 7222 atau pemangku Ketua Polis Balai Pengerang, Sarjan Romeo Usit di talian 011-10182027,” katanya.