SHAH ALAM, 1 FEB: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menegaskan tidak mengeluarkan arahan atau tindakan meroboh sebuah premis menjual durian di Taman Bolton, Gombak baru-baru ini.
Menerusi kenyataan rasmi, MPS menjelaskan kawasan premis berkenaan tertakluk di bawah perjanjian penswastaan antara majlis dengan syarikat dilantik sebagai pengurus dan pentadbir Kompleks Muhibbah.
“Berdasarkan terma perjanjian, pihak syarikat dilantik diberi kebenaran melaksanakan penyewaan semula (sublet) tertakluk kepada kelulusan MPS.
"MPS tidak mempunyai sebarang perjanjian dengan premis berkenaan dan menegaskan perobohan itu tidak melibatkan arahan atau tindakan daripada pihak kami,” menurut kenyataan itu, lapor Harian Metro.
MPS menambah sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT), mereka sentiasa komited memastikan tadbir urus yang telus, mematuhi peruntukan undang-undang serta menjaga kepentingan semua pihak termasuk pengusaha perniagaan dan komuniti setempat.
Tindakan perobohan premis menjual durian berkenaan tular di media sosial sejak minggu lalu melalui video dan gambar yang dikongsi pengguna.




