Buat kecoh di Batu Caves, polis sahkan tahan ‘Inspektor Sheila’

1 Feb 2026, 5:38 AM
Buat kecoh di Batu Caves, polis sahkan tahan ‘Inspektor Sheila’

SHAH ALAM, 1 FEB: Polis mengesahkan penahanan seorang pegawai polis wanita yang kini digantung tugas, dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’, susulan satu insiden kekecohan di kawasan Batu Caves, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, tangkapan telah dibuat dan kenyataan terperinci akan dikeluarkan dalam masa terdekat, lapor Kosmo!.

Terdahulu, beberapa video tular di media sosial memaparkan wanita tersebut digari oleh dua anggota polis wanita selepas dipercayai mencetuskan kekecohan di sekitar kawasan kuil Batu Caves.

Dalam rakaman berkenaan, ‘Inspektor Sheila’ dilihat memakai baju dan seluar pendek berwarna hitam ketika dibawa pergi oleh polis.

Dalam satu lagi video yang turut mencuri perhatian orang ramai, wanita berkenaan dilihat sempat bercakap lantang kepada orang awam selepas digari polis.

“Untuk makluman semua, Inspektor Sheila akan menjadi lebih terkenal dalam kalangan rakyat Malaysia. Terima kasih kerana sudi menahan saya pada hari yang mulia ini, Hari Thaipusam,” katanya.

Beliau turut mendakwa pihak polis cemburu terhadap popularitinya dalam kalangan media dan orang ramai.

Difahamkan, Inspektor Sheila telah digantung tugas sejak 23 Jun 2023 dan sebelum ini pernah dikaitkan dengan beberapa kes lain, termasuk menghina seorang anggota polis serta mengugut seorang wanita warga emas.

Sebelum ini juga, nama wanita berkenaan beberapa kali tular di media sosial kerana didakwa mencetuskan kekecohan di beberapa lokasi awam, termasuk di kedai makan dan mengganggu tugas polis.