Pengambilan guru baharu Gred DG9 dapat sambutan, Fadhlina kongsi FAQ

31 Jan 2026, 2:46 PM
Pengambilan guru baharu Gred DG9 dapat sambutan, Fadhlina kongsi FAQ

SHAH ALAM, 31 JAN: Inisiatif pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG9 secara Contract of Service (CoS) menerima sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.

Susulan itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerusi hantaran di media sosial berkongsi senarai soalan lazim (FAQ) bagi membantu menjelaskan persoalan yang dijangka dibangkitkan oleh calon pemohon berkaitan syarat, proses dan pelaksanaan pengambilan berkenaan.

Pengambilan ini melibatkan graduan bukan pendidikan yang akan dilantik secara kontrak dan mengikuti latihan perguruan melalui Diploma Pascasiswazah Pendidikan Sekolah Rendah di Institut Pendidikan Guru (IPG).

Berikut ialah soalan lazim berkaitan pengambilan berkenaan:

1. Apakah yang dimaksudkan dengan guru baharu lantikan CoS?

  • Graduan selain ijazah pendidikan yang dilantik secara kontrak dan akan mengikuti program pengajian perguruan di Institut Pendidikan Guru (IPG).

2. Apakah nama program pengajian yang perlu diikuti?

  • Diploma Pascasiswazah Pendidikan Sekolah Rendah.

3. Apakah pautan permohonan program tersebut?

  • Permohonan boleh dibuat melalui: http://mypdpp.moe.gov.my (Pautan boleh diakses bermula 2 Mac 2026)

4. Bilakah permohonan dibuka?

  • Permohonan dalam talian dibuka dari 2 hingga 20 Mac 2026.

5. Apakah syarat ambilan?

i) Syarat Umum:

  • Warganegara Malaysia

  • Sihat tubuh badan

  • Aktif kokurikulum di peringkat universiti

  • Umur tidak melebihi 40 tahun pada tarikh tutup permohonan

  • BMI tidak melebihi 32.5

ii) Syarat Akademik:

  • Ijazah sarjana muda dari universiti yang diiktiraf MQA

  • PNGK minimum 2.50

  • Kepujian Bahasa Melayu (sekurang-kurangnya Gred C) pada peringkat SPM atau setaraf

6. Bagaimana proses pengambilan dilaksanakan?

  • Permohonan melalui portal mypdpp.moe.gov.my

  • Calon menduduki Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG) secara dalam talian

  • Semakan panggilan temu duga pada 22 April 2026

  • Temu duga secara bersemuka

  • Saringan kesihatan perlu dimuat naik sebelum 30 Mei 2026

7. Di manakah pengajian perguruan dilaksanakan?

  • Di Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh Malaysia.

8. Berapa lama tempoh pengajian?

  • Satu tahun.

9. Apakah mod pengajian?

  • Bersemuka pada hujung minggu dan cuti sekolah

  • Dalam talian sepanjang minggu pengajian

10. Berapakah gaji permulaan guru DG9 CoS?

  • RM2,360 sebulan.

11. Siapakah yang tidak layak memohon?

  • Graduan pendidikan

  • Calon DPLI/DPP

  • Guru Lantikan Kontrak Interim (LKI)

  • Guru Kontrak (lantikan SPP)

  • Individu yang pernah dibuang kerja daripada perkhidmatan awam

  • Bankrap yang belum dilepaskan

12. Adakah pengambilan ini untuk sekolah rendah?

  • Ya, bagi memenuhi keperluan guru sekolah rendah di seluruh negara.

13. Apakah peranan KPM dan SPP?

  • KPM: Mengurus temu duga dan latihan perguruan melalui IPG

  • SPP: Mengurus pengambilan dan pelantikan guru baharu

14. Adakah graduan pendidikan dan calon simpanan masih berpeluang menjadi guru?

  • Ya. Peluang kekal terbuka dan pengambilan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa melalui kerjasama KPM dan SPP.