MPKS kompaun premis kitar semula barangan elektronik, arah tutup operasi

2 Apr 2026, 1:28 PM
MPKS kompaun premis kitar semula barangan elektronik, arah tutup operasi
MPKS kompaun premis kitar semula barangan elektronik, arah tutup operasi
MPKS kompaun premis kitar semula barangan elektronik, arah tutup operasi
MPKS kompaun premis kitar semula barangan elektronik, arah tutup operasi

SHAH ALAM, 2 APRIL: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengeluarkan kompaun terhadap sebuah premis yang menjalankan aktiviti kitar semula barangan elektronik tanpa kebenaran dalam operasi bersepadu di Jalan Harmoni 1, Simpang 3 Ijok, Bestari Jaya, hari ini.

Menurut MPKS, operasi itu dilaksanakan bagi memastikan aktiviti perindustrian, khususnya pengurusan e-waste mematuhi undang-undang serta tidak menjejaskan alam sekitar dan kesejahteraan penduduk.

"Seramai 50 anggota terlibat, termasuk dari Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor, Pengurusan Air Selangor, serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kuala Selangor," menurut kenyataan di Facebook.

Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti kitar semula barangan elektronik tanpa lesen sah. Satu kompaun dikeluarkan atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007. Selain itu, notis memberhentikan perniagaan dikeluarkan dan premis ditutup.

Dalam operasi sama, pihak berkuasa menyita pelbagai peralatan termasuk penimbang, pemampat udara, forklift, kipas ekzos, troli, mesin pemotong, jack mudah alih, peralatan kimpalan, barangan pelbagai, dan sejumlah besar kipas industri.

Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS turut mengeluarkan kompaun atas kesalahan kebersihan premis serta notis menghendaki kacau ganggu dihapuskan di bawah Seksyen 82(1), Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Sementara itu, Jabatan Kawalan Bangunan MPKS tidak mengambil tindakan terhadap struktur kerana premis mempunyai Permit Pelan Bangunan sah, namun siasatan lanjut akan dijalankan untuk memastikan pematuhan syarat kelulusan. Sekiranya gagal, tindakan akan diambil di bawah Akta 133 Jalan, Parit dan Bangunan.

Jabatan Pelesenan MPKS pula telah menyemak status lesen perniagaan premis berkenaan. SPAN dan Pengurusan Air Selangor memeriksa meter air dan melaksanakan rampasan, manakala TNB Kuala Selangor menyemak meter elektrik dan akan mengambil tindakan susulan termasuk notis pemotongan bekalan.

Selain itu, Jabatan Alam Sekitar mengambil lima sampel bahan e-waste untuk analisis lanjut, menahan operasi, dan memeriksa enam bahagian stok e-waste di premis tersebut.

MPKS menegaskan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara bersepadu bagi memastikan pematuhan undang-undang serta kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.