KAJANG, 9 APRIL: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah menumpaskan kegiatan pemprosesan sisa elektronik (e-waste) haram dengan nilai rampasan mencecah RM187 juta menerusi Op Hazard 3.0 pada 6 April lalu.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata seramai 56 individu bukan warganegara ditahan dalam 10 serbuan berasingan di Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.
“Kesemua tangkapan melibatkan bukan warganegara iaitu 48 lelaki dan lapan wanita terdiri daripada warga China, Myanmar dan Bangladesh.
“Antara barangan dirampas termasuk sisa elektronik (e-waste), barangan lusuh serta produk akhir yang dipercayai diproses secara haram untuk tujuan komersial,” katanya pada sidang media di pejabat Briged Tengah PGA di sini hari ini.

Beliau berkata, Op Hazard 3.0 dilaksanakan dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Cukai Pendapatan 1974, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram serta Akta Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian 2021.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan sejak 1 Januari hingga 9 April tahun ini, Briged Tengah PGA telah melaksanakan 140 serbuan dengan 394 tangkapan, melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM216 juta di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
“Pihak polis melalui PGA juga mengharapkan orang awam menjadi mata dan telinga dalam menyalurkan segala jenis maklumat berkaitan kes penyeludupan di kawasan sekitar masing-masing,” ujarnya.








