SHAH ALAM, 6 APRIL: Sebanyak 110 premis termasuk kilang haram dan premis besi buruk diserbu dalam Op Hazard 3.0 di seluruh negara hari ini.
Operasi bersepadu membabitkan 1,611 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi menyasarkan aktiviti pemprosesan e-waste yang memberi ancaman kepada alam sekitar serta melanggar undang-undang, lapor Berita Harian.
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) (Pasukan Gerakan Am) Bukit Aman Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi, berkata operasi itu dilaksanakan oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Sebanyak 110 premis diperiksa dengan 87 daripadanya dikesan positif menjalankan aktiviti berkaitan e-waste, termasuk 14 kilang haram
"Operasi bermula jam 7 pagi dengan penggunaan 293 aset termasuk 201 kereta, 51 van, 30 lori dan 11 unit dron," katanya pada sidang akhbar selepas operasi di Kapar hari ini.
Mohamad Suzrin berkata, setakat ini tujuh premis masih berada dalam pemeriksaan lanjut
"Pemeriksaan turut membabitkan 729 individu terdiri 154 warganegara dan 575 bukan warganegara. Daripada jumlah itu, seramai 205 individu ditahan membabitkan 39 warganegara, 66 bukan warganegara serta 100 warga asing yang berada di negara ini secara tidak sah," katanya.
Beliau berkata, pihak berkuasa merampas 316,278.5 kilogram (kg) e-waste dan 388,230kg barangan lusuh.
"Selain itu, sebanyak 9,350kg barangan lain turut dirampas dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM55,228,165.25," katanya.
Katanya, pihak berkuasa tempatan turut mengeluarkan 342 kompaun dengan nilai keseluruhan RM82,450 terhadap premis yang melanggar peraturan.
"Produk akhir hasil pemprosesan e-waste dipercayai akan dihantar ke negara ketiga termasuk China bagi tujuan kitar semula.
"Bahan ini mengandungi elemen bernilai seperti aluminium, timah, tembaga serta emas yang diekstrak daripada komponen elektronik," katanya.
Satu sidang media lanjut akan diadakan oleh Ketua Polis Negara, Jumaat ini bagi memperincikan keseluruhan hasil operasi.









