SRA Sungai Kandis terima RM20,000 sumbangan wakaf naik taraf kemudahan wuduk

31 Jan 2026, 1:00 PM
SRA Sungai Kandis terima RM20,000 sumbangan wakaf naik taraf kemudahan wuduk
SRA Sungai Kandis terima RM20,000 sumbangan wakaf naik taraf kemudahan wuduk

SHAH ALAM, 31 JAN: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyalurkan sumbangan wakaf fisabilillah berjumlah RM20,000 bagi menaik taraf kemudahan wuduk di Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Kandis.

Menurut PWS, sumbangan itu bukan sahaja bertujuan membaik pulih kemudahan fizikal sekolah, malah meningkatkan keselesaan serta kebajikan warga sekolah.

“Sumbangan disampaikan oleh Pengurus Bahagian Korporat PWS, Muhammad Hafiz Bahari dan diterima oleh pihak pengurusan sekolah dalam suasana penuh muhibah dan kerjasama strategik.

“Dalam lawatan sama, PWS turut mengadakan taklimat wakaf kepada guru-guru mengenai peranan wakaf sebagai instrumen pembangunan ummah, khususnya dalam memperkasa ekosistem pendidikan Islam,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

PWS memaklumkan, penganjuran taklimat tersebut mencerminkan komitmen berterusan untuk membina kesedaran, tadbir urus dan pemikiran lestari dalam kalangan pendidik sebagai ejen perubahan di peringkat akar umbi.

Selain itu, PWS turut menyeru masyarakat agar terus berwakaf sebagai pelaburan jangka panjang demi keselesaan, kebersihan dan kelangsungan pendidikan ummah, sekali gus membina masa depan yang lebih cerah.