Premis penyembelihan ayam disiasat, bongkar kes pelepasan efluen terlarang

31 Jan 2026, 11:30 AM
Premis penyembelihan ayam disiasat, bongkar kes pelepasan efluen terlarang
Premis penyembelihan ayam disiasat, bongkar kes pelepasan efluen terlarang

SHAH ALAM, 31 JAN: Operasi bersepadu dijalankan di Taman Prima Selayang bagi menyiasat pelepasan efluen terlarang yang dipercayai mencemarkan loji rawatan kumbahan (LRK).

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan operasi berkenaan menumpukan siasatan terhadap sebuah premis penyembelihan ayam bagi menilai kesan pembuangan air buangan ke Sungai Jinjang serta sistem pembetungan.

“Operasi ini diketuai oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan turut disertai Indah Water Konsortium (IWK), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Semakan LUAS di tapak mendapati wujud impak pembuangan efluen dan kemasukan bahan pencemar ke sumber air berhampiran,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Susulan itu, LUAS mengeluarkan notis permohonan lesen di bawah inisiatif Dasar Pelepas Sifar (ZDP) kepada premis terbabit, manakala MPS mengambil tindakan penguatkuasaan termasuk mengeluarkan kompaun, menyita premis serta menarik lesen perniagaan.

Dalam pada itu, JAIS mengeluarkan notis pemakluman selepas mendapati premis berkenaan gagal mematuhi aspek kebersihan, sementara SPAN menjalankan pensampelan efluen di lubang utiliti premis bagi tujuan siasatan lanjut.

LUAS menegaskan semua premis penternakan dan penyembelihan perlu mematuhi syarat pelesenan ZDP serta undang-undang berkaitan bagi mengelak pencemaran sumber air dan menjamin keselamatan alam sekitar.