SHAH ALAM, 31 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mencatat sejarah apabila menjadi satu-satunya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor yang meraih Anugerah ASEAN Clean Tourist City Award sempena ASEAN Tourism Awards 2026 di Cebu, Filipina.
Pihak berkuasa tempatan itu menerusi Facebook memaklumkan, anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot dan diterima Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim.
"Pengiktirafan berprestij ini merupakan pencapaian julung kali buat Bandar Raya Shah Alam, sekali gus membuktikan keupayaan bandar ini untuk berkembang sebagai sebuah destinasi pelancongan bandar yang mampan dan berdaya saing di peringkat ASEAN," menurut MBSA.
Kejayaan itu turut mengangkat imej Shah Alam daripada sebuah bandar pendidikan dan perindustrian kepada destinasi pelancongan bandar berasaskan teknologi pintar, kelestarian dan kehijauan.
MBSA merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas kerjasama dan komitmen berterusan dalam memperkukuh kedudukan Shah Alam sebagai bandar pelancongan bertaraf antarabangsa.


