SHAH ALAM, 30 JAN: Kerajaan menegaskan komitmen memperkukuh penguatkuasaan di semua peringkat pentadbiran, termasuk pusat, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), bagi memastikan dasar dan peraturan dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata walaupun beberapa tindakan sudah diambil, semua pihak tidak boleh cepat berpuas hati dan perlu memastikan langkah penguatkuasaan dijalankan secara menyeluruh, lapor Berita Harian.
"Kita bermesyuarat dalam Jemaah Menteri bincang mengenai penguatkuasaan dan saya tahu beberapa tindakan sudah diambil.
"Tapi jangan kita mudah berpuas hati... mesti ada gerakan dan rancangan menyeluruh membabitkan kekuatan jentera negara, baru boleh negara ini diperbaiki," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Ar-Rahimahdi, Kuala Lumpur.
Anwar menegaskan kerajaan perlu memperkukuh gerakan dan perancangan secara menyeluruh, melibatkan semua jentera, supaya perubahan ketara dapat dicapai.
Beliau juga menekankan kelemahan pentadbiran sering berpunca dari peringkat atasan, justeru pemantauan rapi terhadap pegawai tertinggi kerajaan perlu dipertingkatkan.
"Tapi tentunya kerosakan bermula dari atas sebab itu saya tekankan penguatkuasaan di peringkat atasan KSU (ketua setiausaha), KP (ketua pengarah), pengarah-pengarah termasuk jemaah menteri lebih harus dipantau lebih teliti," katanya.
Pada masa sama, beliau menekankan isu di peringkat akar umbi seperti pengurusan gerai, kebersihan, dan pematuhan peraturan pekerja asing.
Sehubungan itu, Anwar mengarahkan semua tindakan penguatkuasaan yang diumumkan sebelum ini diteruskan dengan konsisten bagi memastikan impak positif kepada rakyat dan negara.
"Saya tekankan sekarang di peringkat bawah soal gerai soal pelaksanaan kebersihan, soal kemasukan pekerja luar yang tak ikut peraturan, pelanggaran peraturan orang-orang dari negara asing bekerja dan diberi laluan tanpa ikut peraturan.
"Jadi oleh itu, saya telah kerahkan dan saya mahu tindakan yang kita umumkan beberapa hari lalu diteruskan, sehingga betul-betul ada kesan positif baik bagi rakyat dan negara," katanya.


