SHAH ALAM, 30 JAN: Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon, mengetuai lawatan tapak pembuangan sampah haram di Jalan PJU 1A/7 sebagai langkah berterusan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam memastikan kebersihan dan kesejahteraan bandar raya sentiasa terpelihara.
Pihak berkuasa tempatan itu menerusi Facebook memaklumkan lawatan yang diadakan semalam adalah sebahagian daripada usaha MBPJ untuk memantau lokasi ‘hotspot’ pembuangan sampah haram dan memperkukuh tindakan penguatkuasaan bagi menjaga kebersihan bandar.
"Sehingga kini, MBPJ telah mengenal pasti 24 lokasi hotspot pembuangan sampah haram sepanjang tahun 2026, mencatatkan penurunan sebanyak 50 peratus berbanding tahun 2025.
"Daripada jumlah tersebut, 16 lokasi telah dilengkapi CCTV mudah alih, membolehkan pemantauan berterusan serta memperkukuh keberkesanan tindakan penguatkuasaan.
"Hasil tindakan bersepadu Jabatan Penguatkuasaan MBPJ, sebuah lori yang terlibat dalam aktiviti pembuangan sampah haram telah disita pada 13 Januari 2026 di lokasi yang sama," menurut MBPJ.
MBPJ menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran peraturan kebersihan bandar, dan orang awam dinasihatkan menggunakan perkhidmatan kontraktor sisa pepejal yang berdaftar serta melupuskan sisa di lokasi yang telah ditetapkan.
Selain itu, MBPJ mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat atau melaporkan sebarang aktiviti pembuangan sampah haram bagi memastikan Petaling Jaya kekal bersih, teratur dan sejahtera.
Usaha menyeluruh ini membuktikan komitmen berterusan MBPJ dalam memperkukuh penguatkuasaan secara lebih efisien dan sistematik, sekali gus meningkatkan kualiti kebersihan bandar raya serta kesejahteraan komuniti.




