MPAJ sedia 845 petak bazar Ramadan, 59 tapak masih kosong

29 Jan 2026, 1:38 PM
MPAJ sedia 845 petak bazar Ramadan, 59 tapak masih kosong
MPAJ sedia 845 petak bazar Ramadan, 59 tapak masih kosong
MPAJ sedia 845 petak bazar Ramadan, 59 tapak masih kosong
MPAJ sedia 845 petak bazar Ramadan, 59 tapak masih kosong

SHAH ALAM, 29 JAN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyediakan 845 petak melibatkan 16 lokasi bazar Ramadan, dengan 59 tapak lagi masih kosong.

MPAJ menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya menawarkan tiga jenis lesen kepada peniaga iaitu Lesen Sementara Bazar Ramadan (LSBR), Lesen Sementara Bazar Ramadan Elit (LSBRE) dan Permit Sementara Bazar Ramadan (PSBR).

“MPAJ buka permohonan bagi tapak Bazar Ramadan yang masih kosong melibatkan lima lokasi iaitu Kompleks Muhibbah Taman Nirwana, Taman Sri Bayu, Ukay Perdana, Taman Dato Ahmad Razali dan Pandan Cahaya,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut MPAJ, permohonan bagi LSBR dan LSBRE boleh dibuat melalui sistem e-penjaja di pautan https://intranet.mpaj.gov.my/penjaja/login.php.

Tambah kenyataan itu, bagi peniaga yang mahu berniaga di lokasi selain Bazar Ramadan ditetapkan MPAJ, permohonan PSBR perlu dibuat.

“Pemilihan lokasi perlulah bersesuaian dan tidak menimbulkan kacau ganggu terutamanya laluan trafik dan sebagainya.

“Kesesuaian lokasi yang dimohon akan dinilai terlebih dahulu oleh Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Usahawan MPAJ sebelum PSBR diluluskan,” katanya.

Berikut jumlah petak kosong di bazar Ramadan MPAJ:

1. Kompleks Muhibbah, Taman Nirwana: 27 tapak

2. Taman Sri Bayu: 14 tapak

3. Jalan Ukay Perdana 1/1,Ukay Perdana: 6 tapak

4. Jalan 16 A, Taman Dato Ahmad Razali (Hadapan Permai Court): 4 tapak

5. TLK Jalan Pandan Cahaya 1/1, Taman Pandan Cahaya: 8 tapak