Projek ECRL hampir siap, kemajuan cecah 90.81 peratus

29 Jan 2026, 7:30 AM
Projek ECRL hampir siap, kemajuan cecah 90.81 peratus

SHAH ALAM, 29 JAN: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini hampir siap apabila kemajuan keseluruhan pembinaannya mencecah 90.81 peratus setakat bulan lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pencapaian itu melepasi sasaran projek sebanyak 90 peratus yang ditetapkan bagi tahun lalu, sekali gus menunjukkan kemajuan pembinaan berada pada tahap yang sangat baik.

Beliau berkata antara pencapaian utama projek itu ialah penyiapan kerja pengorekan kesemua 41 terowong, pemasangan kira-kira 500 kilometer landasan kereta api serta lebih 12,000 tiang Overhead Catenary System (OCS) bagi bekalan elektrik.

"Pembinaan Stesen Kota Bharu mencatat kemajuan keseluruhan sebanyak 82.06 peratus setakat Disember lalu dan dijangka siap sepenuhnya menjelang suku kedua tahun ini.

"Stesen Kota Bharu merangkumi reka bentuk bangunan yang berteraskan konsep 'Rumah Meleh Melayu' dan 'Bunga Ketam Guri' serta menggunakan ciri-ciri unik kebudayaan Kelantan," katanya.

Kemudahan disediakan termasuk platform bertingkat, eskalator, lif, kawasan naik dan turun penumpang, lebih 500 petak parkir, laluan pejalan kaki berbumbung, landskap serta kuarters pekerja dan krew kereta api.

Loke berkata, bekalan elektrik ke ‘Feeder Station 01’ (FS01) di Tunjong berjaya diaktifkan lebih awal daripada jadual asal, sekali gus membolehkan kerja ujian dan pentauliahan dijalankan lebih awal di Stesen Kota Bharu.

Beliau turut memaklumkan jajaran ECRL sepanjang 43 kilometer di Kelantan telah mencapai kemajuan 96.67 peratus setakat Disember lalu.

Jajaran itu melibatkan pembinaan Stesen Kota Bharu untuk penumpang serta Stesen Pasir Puteh di Cherang Tuli yang menampung perkhidmatan penumpang dan kargo.

Menurutnya, Kementerian Pengangkutan yakin fasa ujian dan pentauliahan penuh dapat dimulakan pada Jun depan bagi memastikan sistem ECRL beroperasi dengan selamat dan lancar.

Beliau berkata jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dijangka siap pada Disember ini dan mula beroperasi pada Januari tahun hadapan.