Rakyat puji langkah tegas Kerajaan Negeri banteras tapak sampah haram

27 Jan 2026, 1:00 PM
Rakyat puji langkah tegas Kerajaan Negeri banteras tapak sampah haram
Rakyat puji langkah tegas Kerajaan Negeri banteras tapak sampah haram
Rakyat puji langkah tegas Kerajaan Negeri banteras tapak sampah haram
Rakyat puji langkah tegas Kerajaan Negeri banteras tapak sampah haram

KLANG, 27 JAN: Usaha Kerajaan Negeri menjadikan pembanterasan tapak pembuangan sampah haram sebagai antara agenda utama tahun ini menerima sokongan padu daripada rakyat, yang melihat langkah itu sebagai kunci ke arah persekitaran lebih bersih dan lestari.

Kakitangan swasta, Nurul Ain Ab Jalal, 42, menyuarakan harapan agar Selangor mampu muncul sebagai negeri bersih dan suatu hari nanti setanding negara maju seperti Jepun.

Nurul Ain Ab Jalal, 42

“Saya mengharapkan kalau boleh sampah di jalanan tiada lagi. Saya bekerja dengan syarikat Jepun dan semua orang tahu keadaan di sana sangat bersih.

“Malah ikan pun boleh hidup di longkang. Saya harap Malaysia dan Selangor dapat jadi seperti Jepun. Saya amat menyokong saranan Dato’ Menteri Besar,” katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu, penduduk Taman Petaling, Klang, K Vijayarani, 49, berpandangan sudah tiba masanya Kerajaan Negeri mengambil tindakan lebih tegas terhadap individu yang kurang kesedaran sivik serta enggan bekerjasama memelihara alam sekitar.

K Vijayarani, 49

“Bagi saya ini sangat bagus. Sekarang ini ramai yang tiada kesedaran dan buang sampah merata-merata. Klang juga akan jadi lebih bersih selepas ini.

“Di kawasan saya pun ada masalah ini juga. Mereka buang di tepi jalan dan anjing akan menyelongkar sampah sehingga mengotorkan kawasan. Saya sangat setuju dengan Kerajaan Negeri,” katanya.

Pandangan sama dikongsi pekerja swasta, Mohd Shukri Wahi, 42, yang memuji inisiatif Kerajaan Negeri dan berharap isu tapak pelupusan sampah haram, khususnya di Pulau Indah, dapat ditangani segera dengan tindakan penguatkuasaan tegas.

Mohd Shukri Wahi, 42

“Memang bagus usaha ini untuk elakkan isu pencemaran alam sekitar kita. Bagus kita hapuskan tapak sampah haram ini.

“Di Pulau Indah pun ada berlaku juga terutamanya di beberapa tempat terpencil, mereka buang sewenang-wenangnya. Apabila ada penguatkuasaan seperti ini, lebih baik,” katanya.

Pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 semalam, Dato’ Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk membanteras tapak pembuangan sampah haram, termasuk turun padang sendiri ke lokasi dikenal pasti sebagai kawasan panas.

Beliau turut memberi peringatan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bersekongkol, selain mengarahkan KDEB Waste Management memperkukuh kerjasama bersama semua pihak berkuasa tempatan.