Tapak sampah haram dihapuskan, pihak bersekongkol dikenakan tindakan tegas

26 Jan 2026, 6:52 AM
Tapak sampah haram dihapuskan, pihak bersekongkol dikenakan tindakan tegas

SHAH ALAM, 26 JUN: Isu kebersihan awam terutama usaha membanteras tapak pembuangan sampah haram akan menjadi fokus utama pentadbiran negeri tahun ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau sendiri akan turun padang ke setiap lokasi terutama kawasan titik panas demi memastikan kawasan pembuangan sampah haram dihapuskan sepenuhnya.

“Siapa yang bersekongkol akan dikenakan tindakan tegas supaya Selangor bebas dari pembuangan sampah haram yang beri impak buruk kepada kualiti kehidupan masyarakat.

“Di sini saya ingatkan perlunya kerjasama erat pasukan KDEB Waste Management (KDEBWM) dengan pihak berkuasa tempatan (PBT). Pastikan ada maklumat, ada hubungan yang baik supaya kita boleh bertindak bersama-sama.

“Kita tak boleh lagi lepas tangan. Kalau salahkan pihak lain, bagaimana nak selesaikan masalah? Ini adalah masalah kita bersama. Baik PBT, KDEBWM, atau pekerja. Kita pastikan semua bertindak satu pasukan,” katanya pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 hari ini.

Amirudin berkata hasrat mengindahkan Selangor mampu dicapai memandangkan satu lagi pusat teknologi sisa kepada tenaga (WTE) akan dibuka tahun ini sekali gus memudahkan urusan penyelesaian sisa.

Mengulas lanjut, beliau berkata pentadbiran juga mengeluarkan insentif khas berjumlah RM10 juta tahun ini bagi kerja pembersihan kawasan kampung sekali gus menyokong usaha membersihkan negeri.

Jelasnya kawasan sekitar Hulu Langat menjadi tumpuan memandangkan banyak laporan diterima di situ terutama melibatkan operasi inap desa, inap dusun dan chalet.

“Kita gunakan wang itu untuk selesaikan isu pengautan sisa pepejal berbanding hanya meletakkan tong sampah di luar kawasan kampung, yang kemudiannya menjadi tempat longgokan sampah tak terkawal walaupun dikutip setiap hari.

“Kita akan tangani isu sampah ini sebaik mungkin. Saya sudah maklumkan kepada PBT dan pejabat tanah untuk perangi isu ini habis-habisan,” katanya.

Pada Disember, Bernama melaporkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menerima banyak aduan mengenai keadaan kotor di Selangor dan mahu tindakan segera dilaksana untuk membersihkan negeri.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah peningkatan aduan lengkap dengan maklumat pengadu menunjukkan rakyat benar-benar mahukan langkah susulan, sekali gus mencerminkan keprihatinan awam yang semakin tinggi terhadap isu kebersihan bandar.