MPKS gempur dua tapak sampah haram, sita jentera di Ijok

31 Jan 2026, 7:41 AM
MPKS gempur dua tapak sampah haram, sita jentera di Ijok

SHAH ALAM, 31 JAN: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) melaksanakan operasi membanteras pembuangan sampah haram di dua lokasi tumpuan sekitar Ijok, semalam.

MPKS berkata, operasi bermula jam 8.30 pagi hingga 3 petang itu disertai seramai 25 pegawai dan anggota Jabatan Penguatkuasa MPKS serta Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS.

Menurut MPKS, operasi berkenaan memfokuskan pemantauan serta tindakan penguatkuasaan di Lot 2717, Batu 22, Ijok dan Lot 17670, Harmoni, Ijok, yang dikenal pasti sebagai lokasi pembuangan sampah haram hasil pemantauan berterusan dan aduan awam.

“Di lokasi pertama, kami menyita sebuah jentera pengendalian sampah iaitu traktor jengkaut mengikut Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MDKS) 2007.

"Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS pula menguruskan logistik lori loader bagi tujuan sitaan jentera serta mengeluarkan satu kompaun berkaitan kesalahan pembuangan sampah haram," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, di lokasi kedua sebuah jentera jengkaut tidak dapat disita kerana berada dalam keadaan tidak berfungsi dan tiada jentera pengendalian sampah haram lain ditemui.

“Walaupun sitaan tidak dapat dilakukan, satu Notis Menghendaki Kacauganggu Dihapuskan tetap dikeluarkan, manakala satu kompaun turut dikenakan bagi memastikan tindakan susulan diambil.

"Secara keseluruhan, operasi berkenaan melibatkan pemantauan di dua lokasi, satu sitaan jentera, pengeluaran dua notis dan empat kompaun," katanya.

MPKS menegaskan tindakan tegas itu diambil bagi memastikan kebersihan persekitaran terpelihara, selain membendung aktiviti pembuangan sampah haram yang boleh menjejaskan kesihatan awam serta kelestarian alam sekitar.

"Kami menyeru semua pihak agar mematuhi peraturan yang ditetapkan dan bersama-sama melaporkan sebarang aktiviti pembuangan sampah haram di kawasan masing-masing demi kesejahteraan daerah Kuala Selangor," katanya.