MBDK sedia 1,385 tapak bazar Ramadan di 22 lokasi

27 Jan 2026, 8:55 AM
MBDK sedia 1,385 tapak bazar Ramadan di 22 lokasi

KLANG, 27 JAN: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menyediakan sebanyak 1,385 tapak bazar Ramadan di 22 lokasi, dengan 993 tapak sudah ditawarkan kepada peniaga.

Datuk Bandar Klang, Dato’ Abd Hamid Hussain berkata, sebanyak 392 tapak masih kosong, membabitkan beberapa kawasan termasuk Taman Sri Andalas, Flat Sri Bayu, Pulau Indah dan Rantau Panjang.

“Kita ada 22 tapak yang melibatkan 1,385 petak. Ada juga peniaga yang mendapat maksimum sehingga tiga petak.

“Kita sudah tawarkan 993 petak, terdapat 392 lagi yang masih kosong. Mereka yang berhajat untuk berniaga pada Ramadan ini boleh berhubung dengan jabatan berkenaan bagi urusan selanjutnya,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Penyerahan Hadiah Cabutan Bertuah bagi Pembayar Cukai Taksiran Melalui Portal IPay MBDK di Dewan Hamzah MBDK di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Abd Hamid berkata MBDK bercadang meneruskan pelaksanaan program MySave Food bagi mengumpul lebihan makanan yang tidak terjual di bazar Ramadan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.

Beliau turut menasihatkan peniaga agar mengamalkan kebersihan sepanjang urusan jual beli, selain menggalakkan pengunjung membawa bekas makanan sendiri bagi mengurangkan penggunaan beg plastik.

“Saya harap peniaga dapat menjalankan perniagaan dengan bersih, sihat pada harga yang berpatutan serta tidak membuang sisa makanan di tempat yang tidak sepatutnya,” katanya.

Pada 2024, Kerajaan Negeri memperkenalkan program MySave Food @ Bazar Ramadan di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengumpul lebihan makanan yang tidak terjual di bazar Ramadan.

Program tersebut dimulakan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 2021 dan berjaya menyelamatkan kira-kira enam tan makanan tidak terjual daripada pembaziran.