MBPJ buka permohonan jual bunga api sempena Tahun Baharu Cina, Aidilfitri 2026

27 Jan 2026, 8:30 AM
MBPJ buka permohonan jual bunga api sempena Tahun Baharu Cina, Aidilfitri 2026

SHAH ALAM, 27 JAN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membuka permohonan bagi aktiviti penjualan mercun dan bunga api di kawasan pentadbirannya sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri 2026, bermula Februari depan.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata, semua permohonan perlu dikemukakan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlebih dahulu bagi tujuan semakan dan kelulusan.

“Senarai pemohon yang mendapat kebenaran pihak polis akan dikemukakan kepada MBPJ untuk tindakan lanjut melalui permohonan secara dalam talian serta pengeluaran permit sementara.

“Ketetapan ini dibuat susulan perbincangan bersama Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Shamsudin Mamat, di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada 15 Januari lalu,” katanya.

Menurut beliau, setakat ini MBPJ menerima 32 permohonan melibatkan beberapa lokasi termasuk SS20, PJU11 dan Seksyen 1.

Beliau berkata, aktiviti penjualan mercun dan bunga api sempena Tahun Baharu Cina dibenarkan bermula 10 Februari hingga 3 Mac 2026, manakala tarikh tutup permohonan ditetapkan pada 3 Februari 2026.

“Bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri pula, tempoh penjualan ditetapkan dari 5 Mac hingga 27 Mac 2026, dengan tarikh tutup permohonan pada 26 Februari 2026,” katanya.