Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam ikut jadual, kemajuan capai 6.61 peratus

27 Jan 2026, 8:30 AM
Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam ikut jadual, kemajuan capai 6.61 peratus
Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam ikut jadual, kemajuan capai 6.61 peratus
Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam ikut jadual, kemajuan capai 6.61 peratus

SHAH ALAM, 27 JAN: Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) berjalan mengikut jadual dengan kemajuan projek setakat ini mencapai 6.61 peratus, melibatkan kerja perobohan serta pembinaan awal bagi fasa pertama.

Pengurus Besar Jabatan Pengurusan Projek Khas KSSA, Datuk Ir Ruslan Abd Aziz, berkata projek kini berada dalam Fasa 1 yang memfokuskan kerja perobohan dan pembinaan awalan termasuk laluan ke kawasan rekreasi dan masjid, landskap serta padang latihan.

“Fasa ini turut melibatkan pembinaan laluan ke Laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Stadium Shah Alam, dengan sebahagian besar kerja perobohan berjaya disiapkan.

“Pada masa sama, pihak pemaju sedang menyediakan lukisan pelan secara terperinci kerana perlu melalui proses semakan dan kelulusan kebenaran merancang serta pelan pembangunan daripada pihak berkuasa tempatan,” katanya ketika ditemui di tapak pembinaan KSSA di sini, hari ini.

Pengurus Besar Jabatan Pengurusan Projek Khas Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA), Datuk Ir Ruslan Abd Aziz ditemui Media Selangor pada 27 Januari 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Beliau memaklumkan kebenaran merancang sudah diluluskan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) 29 Disember lalu selepas melalui proses semakan, manakala kelulusan pelan pembangunan dijangka diperoleh bulan ini.

Menurutnya, kerja tanah dan cerucuk dijangka bermula Februari ini dengan keseluruhan landskap kawasan akan berubah sepenuhnya, termasuk peninggian aras tanah bagi mengurangkan risiko banjir pada masa hadapan.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memaklumkan projek pembangunan KSSA yang merangkumi tiga fasa itu dijangka siap sepenuhnya menjelang 2029, dengan fasa pertama melibatkan proses perobohan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, berkata Stadium Shah Alam bakal dibangunkan sebagai antara hab sukan paling moden di Malaysia, dilengkapi teknologi ‘retractable pitch’ yang membolehkan padang digunakan bagi perlawanan dan ditutup untuk dijadikan ruang dewan pelbagai guna.