KSSA: Pembangunan dikawal ketat, keselamatan dan alam sekitar jadi keutamaan

27 Jan 2026, 10:00 AM
KSSA: Pembangunan dikawal ketat, keselamatan dan alam sekitar jadi keutamaan
KSSA: Pembangunan dikawal ketat, keselamatan dan alam sekitar jadi keutamaan
KSSA: Pembangunan dikawal ketat, keselamatan dan alam sekitar jadi keutamaan
KSSA: Pembangunan dikawal ketat, keselamatan dan alam sekitar jadi keutamaan

SHAH ALAM, 27 JAN: Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) memberi penekanan tinggi terhadap kawalan keselamatan dan garis panduan operasi bagi memastikan kesejahteraan semua pihak, termasuk pemantauan bunyi, udara dan air sepanjang projek dijalankan.

Pengurus Besar Jabatan Pengurusan Projek Khas KSSA Datuk Ir Ruslan Abd Aziz berkata mesyuarat berkala diadakan setiap bulan bagi menilai tahap pencemaran dan memastikan semua prosedur keselamatan dipatuhi.

Pengurus Besar Jabatan Pengurusan Projek Khas Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA), Datuk Ir Ruslan Abd Aziz ditemui Media Selangor pada 27 Januari 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

“Projek ini mengambil masa, dengan kerja pembersihan tapak dan perobohan kecil masih dijalankan, manakala kerja di belakang tadbir terus diteliti. Kawalan dan garis panduan amat penting bagi memastikan keselamatan semua pihak termasuk bunyi, udara dan air.

"Mesyuarat bulanan diadakan bagi mengenal pasti tahap pencemaran tersebut mengikut situasi semasa,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di tapak pembinaan KSSA hari ini.

Ruslan turut berharap projek pembangunan KSSA berjalan lancar dengan kerjasama dan doa semua pihak, serta siap sepenuhnya mengikut jadual.

Pada 19 Ogos lalu, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memaklumkan bahawa kontraktor pelaksana diarahkan mematuhi prosedur keselamatan serta kawalan habuk dan bunyi bagi menjaga kesejahteraan komuniti setempat.

Agensi itu menambah, pemaju KSSA turut giat memantau kualiti udara sekitar kawasan projek sepanjang proses pembersihan sisa perobohan, mengikut garis panduan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sejak projek dimulakan pada 1 Julai 2024.

Orang ramai melihat reka bentuk Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) dalam pameran awam di pusat beli-belah SACC, Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Projek pembangunan KSSA merangkumi pembinaan gelanggang baharu Selangor FC serta kawasan rekreasi untuk kegunaan orang awam, dengan kapasiti stadium dianggarkan antara 30,000 hingga 40,000 tempat duduk.

Stadium ikonik yang menjadi gelanggang rasmi pasukan The Red Giants itu mula dirobohkan pada awal Julai tahun lalu bagi memberi laluan kepada pembangunan semula kompleks sukan berkenaan.

Kompleks sukan baharu itu bakal dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk hotel, bangunan teater tertutup serta ruang niaga yang dihubungkan secara terus dengan Transit Aliran Ringan (LRT).