Pembangunan semula KSSA ikut jadual, dijangka siap pertengahan 2029

19 Jan 2026, 6:00 AM
Pembangunan semula KSSA ikut jadual, dijangka siap pertengahan 2029

SHAH ALAM, 19 JAN: Pembangunan semula projek Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) berjalan mengikut perancangan dan kini mencatat kemajuan sebanyak 6.61 peratus.

KSSA memaklumkan, fasa awal projek ketika ini melibatkan kerja-kerja tanah dan persediaan tapak sebelum memasuki peringkat pembinaan seterusnya.

“Semua kerja dilaksanakan secara berperingkat dengan pemantauan rapi bagi mengurangkan kesan kepada komuniti sekitar.

“Sasaran siap projek ini adalah pertengahan 2029. Terima kasih kepada penduduk setempat dan orang ramai atas kesabaran serta sokongan berterusan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Projek pembangunan semula KSSA merangkumi pembinaan gelanggang baharu Selangor FC serta kawasan rekreasi untuk kegunaan orang awam, dengan kapasiti stadium dianggarkan antara 30,000 hingga 40,000 tempat duduk.

Reka bentuk Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang dipamerkan sempena Hari Jersi Selangor dan Pameran Awam Pembangunan KSSA di SACC Mall, Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Stadium ikonik yang menjadi gelanggang rasmi pasukan The Red Giants itu mula dirobohkan pada awal Julai tahun lalu bagi memberi laluan kepada pembangunan semula kompleks sukan berkenaan.

Kompleks sukan baharu itu dijangka dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk hotel, bangunan teater tertutup serta ruang niaga yang dihubungkan secara terus dengan Transit Aliran Ringan (LRT).

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembangunan semula KSSA bakal mengembalikan kegemilangan Stadium Shah Alam, selain menjadi ikon baharu Selangor yang menyatukan rakyat melalui inovasi dan sukan.

Menurut beliau, projek itu bukan sekadar melibatkan pembinaan infrastruktur moden, malah melambangkan perpaduan serta semangat patriotisme dalam kalangan rakyat negeri ini.

Beliau turut memaklumkan kompleks sukan tersebut memiliki ciri-ciri hibrid yang boleh disesuaikan untuk pelbagai aktiviti, termasuk penganjuran konsert, acara berskala besar dan majlis keramaian seperti upacara perkahwinan.