SHAH ALAM, 20 APRIL: Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) berjalan mengikut jadual dengan kemajuan fizikal kini mencapai 8.2 peratus, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.
Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop berkata KSSA sedia menjadi lokasi utama bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor sekiranya acara sukan dwi tahunan negara itu diadakan pada 2029.
“Kalau kita tengok komen orang awam macam tiada perkembangan langsung di tapak tapi sebenarnya ada kerja tanah, setakat ini sudah capai 8.2 peratus kemajuan.

“Insya-Allah pada bulan lima atau enam ini akan bermula kerja cerucuk dan lebih banyak aktiviti akan berlaku di tapak dan insya-Allah 2028, bulan Mei stadium akan siap.
“Seperti titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebentar tadi, mungkin SUKMA dilaksanakan pada 2029 atau apabila stadium sedia, insya-Allah kita akan sedia pada 2029,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mencadangkan penganjuran SUKMA XXII Selangor 2026 ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan KSSA siap sepenuhnya.
Baginda bertitah cadangan itu mengambil kira kos penganjuran yang tinggi dalam keadaan ekonomi semasa.
Pada 8 April lalu, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohamed Taufiq Johari mengumumkan SUKMA Selangor 2026 akan tetap berlangsung mengikut jadual dari 15 hingga 24 Ogos ini, namun dianjurkan pada skala lebih kecil susulan tekanan ekonomi semasa.
Dr Mohamed Taufiq berkata, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan semua aspek secara teliti dan menyeluruh termasuk persiapan pihak penganjur dan barisan atlet negeri.








